Penolong Akauntan JKM Didakwa Pecah Amanah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Dua penolong akauntan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM74,000.

Bagaimanapun, tertuduh, Tengku Asraf Shah Tengku Yahya dan Zuraini Abdul Rahim@Abdul Rahman, masing-masing berumur 39 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan utama, mereka didakwa secara bersama sebagai penjawat awam yang diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu wang dalam akaun pejabat JKM Raub, telah dengan niat melakukan pecah amanah berkaitan harta tersebut berjumlah RM74,000.

Perbuatan dilakukan di pejabat JKM Raub antara 22 Jun 2020 hingga 18 Februari 2021, yang jadi kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta dengan sebatan dan denda, jika sabit bersalah.

Kedua-dua tertuduh turut ditawar pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan denda.

Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Namun peguam Shahidah Muslimah Roslan mewakili Tengku Asraf memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menyara isteri, dua anak dan ibu bapanya yang sudah uzur.

“Anak guam saya berpendapatan kira-kira RM2,500 sebulan dan selepas ditolak, gaji yang tinggal hanya RM800,” katanya sambil menambah anak guamnya bersedia untuk mematuhi syarat tambahan lain termasuk melapor diri di pejabat SPRM.

Sementara itu, Zuraini yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah agar jaminan dikurangkan kerana suaminya hanya bekerja sebagai kelindan lori dan dia perlu menyara anak-anak yang masih bersekolah.

Hakim membenarkan kedua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan bermula bulan ini dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sumber: My Metro