KUANTAN – Seorang Penolong Pegawai Tanah Daerah Pekan maut dan tiga cedera ringan selepas terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Mangsa, Ahmad Syaheer Yahaya, 38 yang memandu kereta PERODUA Myvi berasal dari Taman Temerloh Jaya, Temerloh, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tiga mangsa yang cedera ringan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu dan kereta PROTON Saga dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan empat individu dan tiga kenderaan pada jam 7.50 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Ahmad Syaheer gagal mengawal kereta dipandunya.
“Kejadian berlaku apabila kereta PERODUA Myvi dipandu mangsa dari bandar Kuantan menghala ke arah Tanjung Lumpur hilang kawalan ketika melepasi selekoh, menyebabkannya terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Pada sama sama, pacuan empat roda jenis Isuzu yang dipandu peniaga berumur 28 tahun bersama kanak-kanak perempuan berumur empat tahun dari arah Tanjung Lumpur menghala ke bandar Kuantan tidak sempat mengelak lalu melanggar Myvi itu.
“Ketika itu, kereta PROTON Saga dipandu pekerja restoran berumur 57 tahun yang berada di belakang Isuzu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kiri kenderaan pacuan empat roda itu.
“Akibat kemalangan itu, Ahmad Syaheer meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Ismail Abdul Ghani berkata, seorang pegawai dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan terbabit dalam operasi menyelamat.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas mengeluarkan mangsa yang maut akibat tersepit,” katanya.
Sumber: BERNAMA