KUANTAN – Seorang pensyarah kolej mengalami kerugian RM21,939 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan secara atas talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 30 tahun berminat untuk melakukan kerja sambilan selepas melihat satu iklan di laman sesawang Google pada minggu lalu.
Menurutnya, mangsa diminta untuk membuat satu projek dengan 10 tugasan dan ditawar komisen sebanyak 0.38 peratus.
“Mangsa seterusnya berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan satu pautan secara talian untuk melaksanakan tugasan yang diberikan oleh suspek.
“Setelah berbincang dengan suspek, mangsa telah memindahkan RM300 ke akaun bank yang diberikan dan memperolehi pulangan sebanyak RM350,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau memberitahu mangsa mula teruja dan percaya selepas mendapat keuntungan sebanyak RM50 serta membuat sembilan kali pindahan wang ke dalam akaun bank berbeza.
Tambahnya, transaksi terbabit dilakukan oleh mangsa dengan menggunakan wang simpanannya.
Sehubungan itu, Ramli menegaskan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan terlebih dahulu sebelum https://semakmule.rmp.gov.my/ membuat sebarang transaksi,” tegas beliau.
Sumber : SINAR HARIAN