Gua Musang: Penternak kerugian hampir RM100,000 apabila 19 ekor lembu peliharaannya mati akibat dipanah petir di ladang kelapa sawit Paloh 2, dekat sini, malam semalam.
Mohd Sharulafizam Johari, 31, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 10 malam ketika hujan lebat disusuli petir yang kuat.
Menurutnya, dia mempunyai 49 ekor lembu yang dilepaskan di ladang kelapa sawit berkenaan.
“Saya menyedari kejadian apabila pergi ke ladang itu kira-kira 7.30 pagi tadi dan mendapati sekumpulan lembu mati bergelimpangan tidak jauh antara satu sama lain.
“Ketika itu, saya mendapati 30 ekor lagi terselamat dan dipercayai 19 ekor lembu yang mati dipanah petir mungkin berkumpul di sebalik pokok kelapa sawit.
“Saya amat terkejut kerana kejadian seumpama itu kali pertama berlaku sejak menternak lembu kira-kira tujuh tahun lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Menurutnya, kebiasaannya dia akan pergi ke ladang itu dalam tempoh dua jam pada waktu petang setiap hari untuk memantau lembu-lembu itu bagi mengelakkannya keluar dari ladang.
“Memang sebelum saya balik rumah pada 7 malam semalam, semua 49 lembu berada dalam keadaan baik walaupun berpecah dalam ladang sawit terbabit,” katanya.
Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Paloh berhubung kejadian sebelum menanam bangkai lembu terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada penternak terbabit.
Sumber: MY Metro