Marang: Penternak lembu dan kambing semakin ‘terhimpit’ berikutan kenaikan harga makanan ternakan di pasaran sejak akhir-akhir ini.
Kenaikan harga makanan palet yang mendadak daripada RM43 kepada RM55 seguni iaitu seberat 50 kilogram (kg) membuatkan segelintir penternak terpaksa melepaskan ternakan berkeliaran mencari makanan.
Mohd Nazri Mamat, 32, dari Kampung Bukit Parit berkata, semua penternak lembu dan kambing berasa terbeban apabila harga makanan ternakan itu semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Penternak terpaksa lebihkan makanan alternatif lain untuk ternakan seperti rumput minyak dan napier grass (rumput gajah).
“Kenaikan harga makanan ternakan itu boleh dikatakan seminggu sekali berlaku di pasaran sejak tahun lalu.
“Sekarang, harga makanan ternakan itu RM55 untuk 50 kg dan dijangka akan berlaku kenaikan lagi dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya, di sini, hari ini.
Tambahnya, kenaikan harga makanan ternakan itu menyebabkan harga ternakan juga meningkat dari semasa ke semasa.
“Jangan hairan sekiranya harga lembu dan kambing semakin tinggi sekarang kerana kos makanan ternakan itu juga meningkat sekarang.
“Tahun lalu, lembu kampung untuk ibadah korban hanya RM3,000 seekor, tetapi sekarang RM4,000 dan ke atas untuk seekor, bergantung kepada saiz.
“Harga daging juga tidak menentu dan sentiasa meningkat kesan daripada kenaikan harga makanan ternakan di pasaran sekarang. Penternak tiada pilihan dan terpaksa naikkan harga lembu dan daging supaya seimbang dengan harga makanan ternakan,” katanya.
Menurutnya, dia memperuntukkan RM1,500 sebulan untuk menampung kos makanan 29 lembu yang diternak.
“Sebelum ini hanya RM1,000 sahaja tetapi sekarang ia semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga makanan itu.
“Bagi seekor lembu baka sado yang diternak itu, sebanyak lima kilogram makanan perlu disediakan pada setiap hari dan kenaikan harga makanan ternakan itu memang memberi kesan kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Alif Akma Ruslan Zain, 30, dari Kampung Pengkalan Berangan berkata, ramai penternak menghadapi cabaran dan tekanan berikutan harga makanan ternakan yang sentiasa meningkat.
“Oleh itu saya berharap pihak bertanggungjawab prihatin dan mengawal kenaikan harga makanan ternakan di pasaran,” katanya.
Menurutnya, kawalan harga makanan ternakan perlu dijalankan seperti kawalan harga daging mentah supaya ia sejajar dan tidak membebankan penternak.
Sumber: My Metro