Kuantan: Cadangan mewujudkan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah amat tepat pada masanya, memandangkan masyarakat mula dilalaikan dengan cara hidup moden yang melekakan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sejarah adalah perkara penting sebagai asas untuk membangunkan sesebuah tamadun manusia.
Justeru, baginda bertitah, penulisan semula sejarah tanah air amat penting bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama ketika penjajahan British di Tanah Melayu.
“Saya percaya pusat kajian ini bukan sahaja boleh menjadi entiti penting untuk melengkapkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan dan rujukan tetapi membolehkan segala bahan sejarah dan budaya Negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya akan dapat dikaji dengan lebih mendalam.
“Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Taklimat Cadangan Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah Di Kutubkhanah Diraja Kuantan di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Dalam pada itu, baginda turut menaruh harapan yang tinggi supaya pusat ini bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan untuk universiti tempatan dan luar negara tetapi memberi manfaat kepada seluruh rakyat yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air.
“Saya fikir ini satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka sendiri.
“Apa yang kita usahakan hari ini bukanlah untuk kita, tetapi untuk anak cucu kita yang bakal mewarisi bumi Malaysia yang tercinta ini seperti apa yang kita ada sekarang adalah atas usaha yang dilakukan oleh datuk nenek kita beratus-ratus tahun dahulu,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, Pahang adalah antara negeri terawal yang menerima agama Islam berdasarkan kepada Makam Permatang Pasir yang bertarikh 1028 iaitu lebih awal dari tarikh Batu Bersurat Terengganu 1303 dan Melaka 1400.
“Penemuan ini bukan sahaja untuk menyatakan Pahang adalah negeri terawal yang menerima Islam, tetapi penting untuk menunjukkan bahawa ajaran Islam jauh lebih awal bertapak di Alam Melayu.
“Justeru penemuan seperti ini perlu diketengahkan bagi memperbaiki hasil kajian sebelumnya,” titah baginda.
Sumber: My Metro