Penumpang gembira LRT Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) lega dengan pembukaan semula Laluan LRT Kelana Jaya, hari ini.

Seorang kakitangan swasta, Nurul Naquiah Noor Mohd Raduwan, 24, berkata penutupan laluan LRT berkenaan pada 9 November lalu menyebabkan dia terpaksa bekerja dari rumah.

“Apabila pengumuman penutupan LRT (Laluan Kelana Jaya) dibuat, saya memohon kepada majikan untuk bekerja dari rumah memandangkan tiada pengangkutan untuk ke tempat kerja dari Sentul ke KLCC.

“Saya lega apabila mengetahui LRT (Laluan Kelana Jaya) dibuka semula malam tadi menerusi Tik Tok kerana dapat bekerja seperti biasa di pejabat, hari ini,” katanya ketika ditemui di Stesen LRT Masjid Jamek, hari ini.

Seorang lagi penumpang, Aimi Najwa Roslan, 25, berkata dia terpaksa menggunakan monorel untuk ke tempat kerja di Jalan Sultan Ismail sepanjang tempoh penutupan laluan berkenaan.

“Selalunya saya naik LRT dari Subang ke Masjid Jamek untuk ke Jalan Sultan Ismail kerana lebih cepat dan dekat iaitu sekitar 50 minit.

“Apabila laluan ini ditutup, saya menaiki monorel yang mengambil masa lebih satu jam dan terpaksa bersesak di dalam tren selain perlu berjalan lebih 10 minit untuk sampai ke tempat kerja.

“Dengan pembukaan semula laluan ini hari ini, ia membolehkan saya untuk melakukan rutin perjalanan ke tempat kerja seperti biasa yang lebih cepat dan dekat,” katanya yang juga eksekutif syarikat swasta.

Penumpang LRT, Sulaiman Sidek, 39, memaklumkan dia amat lega dengan pembukaan semula laluan itu yang membolehkan dia berjimat dari segi masa dan wang.

Beliau yang bekerja sebagai jurutera berkata, dia bergerak dari Sentul ke tempat kerja di KLCC menaiki LRT Laluan Kelana Jaya untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

“Dalam tempoh beberapa hari laluan ini ditutup, saya terpaksa bergilir-gilir memandu kereta dan menaiki pengangkutan e-hailing sebagai cara alternatif ke tempat kerja.

“Namun, perjalanan itu mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat kerja disebabkan kesesakan lalu lintas dan tambang pengangkutan e-hailing pula mahal sehingga lebih RM50 sehala.

“Dengan pembukaan ini, saya boleh menaiki LRT seperti biasa tanpa bimbang dengan kesesakan lalu lintas serta kos tambang mahal untuk ke tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen LRT Laluan Kelana Jaya dari Pasar Seni ke KLCC, hari ini, mendapati keadaan tidak begitu sesak seperti biasa kerana dipercayai masih ramai tidak mengetahui mengenai pembukaan semula laluan itu.

Semalam, media melaporkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dibuka semula bermula jam 6 pagi tadi iaitu dua hari lebih awal dari yang dijadualkan selepas mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Selain itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Sebelum ini, 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November lalu hingga 15 November nanti.

Prasarana dalam kenyataan dilaporkan berkata, stesen lain beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi, namun akan menamatkan perkhidmatan lebih awal iaitu pada jam 11 malam.

Stesen yang terbabit dalam penggantungan operasi itu adalah stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Sumber: BERITA HARIAN