Penunggang Motosikal Cedera Rempuh Harimau Belang Di Gua Musang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Seorang pemuda mengalami kecederaan di muka dan kaki selepas dipercayai merempuh seekor harimau belang ketika menunggang motosikal di Jalan Gua Musang-Jeli, di sini malam tadi.

Pemilik kebun Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, berkata detik cemas tersebut berlaku kira-kira 9.30 malam apabila haiwan tersebut secara tiba-tiba keluar dari kawasan semak di bahagian kanan jalan dan merempuh bahagian tayar hadapan motosikal yang ditungganginya.

“Ketika kejadian saya dalam perjalanan ke Sungai Terah untuk bermain badminton melalui jalan berbukit yang gelap tanpa lampu di kiri dan kanan jalan.

“Saya sempat melihat kelibat harimau belang sebelum kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu.

“Selepas terjatuh dari motosikal, saya bangun dan berlari sejauh 100 meter untuk mendapatkan pertolongan daripada pengguna jalan raya lain dengan menyalakan lampu telefon bimbit,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Lembaga, di sini hari ini.

Muhammad Zulhilmi berkata dia mengalami kecederaan di bahagian atas kening sebelah kanan dan di bahagian kaki kiri.

Katanya, beliau dibawa seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

“Saya tidak pasti adakah harimau itu sememangnya bertindak untuk menyerang saya atau sekadar ingin melintas jalan kerana lokasi itu berada berdekatan kawasan hutan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya telah menerima makluman tentang kejadian tersebut.

“Pihak kami sudah ke lokasi kejadian dan masih menyiasat kejadian yang berlaku.

“Kesan bulu yang ada pada motosikal mangsa sudah di hantar ke makmal untuk pengesahan adalah haiwan terbabit adalah harimau belang seperti yang didakwa,” katanya.

— BERNAMA