Penyeludup borong minyak masak dan tepung gandum

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Sindiket penyeludupan di negeri ini semakin licik apabila dikesan mendapatkan bekalan minyak masak dan tepung gandum secara terus daripada pemborong sebelum mengumpulkan barang kawalan itu di stor tertentu untuk diseludup ke Thailand menggunakan bot.

Taktik penyeludup itu berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam operasi dijalankan petang semalam.

Dalam operasi berkenaan 1,003 kilogram (kg) minyak masak dan 200kg tepung gandum ditemui dalam dua kenderaan yang ditahan di Kampung Bunohan di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya dibantu anggota Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) mengekori dua kenderaan jenis Perodua Viva serta Proton Saga selepas kenderaan itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di sini.

“Kedua pemandu menyedari mereka diekori dan memberhentikan kenderaan sebelum bertindak melarikan diri meninggalkan kenderaan di bahu jalan di Kampung Bunohan.

“Pemeriksaan dalam dua kenderaan mendapati ia dipenuhi sejumlah kotak mengandungi minyak masak serta tepung gandum dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Hasil siasatan awal, kami percaya mereka membuat belian secara persendirian dengan mendapatkan bekalan dari pemborong seterusnya menjadikan stor di sempadan negara berhampiran laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara sebelum barangan diseludup ke negara jiran,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,777.50 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azanizam berkata, penyeludup berani mengambil risiko menjalankan kegiatan itu kerana permintaan menggalakkan dari negara jiran.

Justeru itu, pihaknya bersama agensi penguatkuasaan sempadan yang berkaitan sentiasa bekerjasama dari semasa ke semasa mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.

“Kami memberi amaran dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja yang melakukan penyelewengan terutamanya berhubung barang kawalan.

“Kerjasama bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan barang kawalan diseludup ke negara jiran dapat dibanteras serta memastikan pengguna dapat menikmati subsidi dibekalkan kerajaan,” katanya.

Sumber: My Metro