Penyeludup Ditahan Selepas Tak Jumpa Jalan Keluar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang membawa sejumlah diesel dipercayai untuk diseludup, ditahan dalam perkarangan sebuah hospital di sini, selepas gagal melarikan diri kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata suspek yang memandu kereta jenis Proton Gen 2 itu dikesan memecut kenderaan sejauh 20 kilometer (km) bermula dari Bachok sebaik menyedari diekori pihak berkuasa.

Katanya, suspek dikesan ketika pasukannya menjalankan Op Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.

“Pasukan kami mengesan sebuah Proton Gen 2 yang berpendaftaran tempatan dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di jalan raya sekitar Bachok menghala ke Kota Bharu.

“Pemandu dikesan membuat pembelian berulang di beberapa stesen minyak, dipercayai untuk diseleweng.

“Pasukan mengekori suspek dan sebaik menyedarinya, pemandu memecut kenderaan untuk melarikan diri sebelum memasuki kawasan Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, pemandu kereta itu cuba meloloskan diri namun dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan Kota Bharu, suspek ditahan apabila kenderaannya terhalang di sebuah longkang manakala tayarnya pecah.

“Pemeriksaan dalam kereta menemui 800 liter diesel dalam 32 tong plastik dianggar bernilai RM1,720.

“Suspek lelaki berusia 29 tahun itu direman tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

– BERITA HARIAN