Penyeludup lari tinggal barang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Nor Azizan Yusof (Tengah)

Pasir Mas: Pelbagai makanan dan ayam sejuk beku bernilai RM85,950 dipercayai diseludup dirampas di ladang kelapa sawit di Kampung Lubok Stol, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) ketika melakukan rondaan pada 2 petang.

Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggota melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dan bungkusan ke dalam dua lori di sebuah pangkalan haram.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka melarikan diri ke dalam semak, manakala dua pemandu lori sempat memandu kenderaan mereka untuk keluar dari pangkalan haram.

“Anggota kemudian berjaya mengesan dua lori berkenaan ditinggalkan dalam ladang kelapa sawit kira-kira 3 petang.

“Pemeriksaan ke atas dua lori berkenaan menemui sebanyak 2,358 paket ayam sejuk beku dan 900 paket pelbagai makanan sejuk beku dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Kesemua lori dan barangan dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati barangan itu untuk pasaran di Kota Bharu susulan permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha makanan.

“Penyeludup mengambil peluang membawa keluar produk makanan secara haram sekali gus memberi kegusaran tentang status halal serta keselamatan makanan,” katanya.

Sumber: My Metro