Penyeludup tinggalkan burung, ayam laga RM65,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Sekumpulan lelaki dipercayai penyeludup melarikan diri ke negara jiran dengan meninggalkan pelbagai burung eksotik dianggarkan bernilai RM65,000 selepas terserempak dengan pihak berkuasa di pangkalan haram Sota, Jeram Perdah di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Nor Azizan Yusof berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu, anggotanya membuat rondaan di lokasi terbabit dan terserempak sekumpulan lelaki sedang mengangkat kotak dan bakul dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian mendekati kumpulan berkenaan, namun mereka melarikan diri menggunakan perahu merentasi Sungai Golok ke Thailand.

“Pemeriksaan ke atas kotak serta bakul terbabit menemukan seekor burung kakak tua bernilai RM35,000, empat ayam laga bernilai RM20,000 dan 10 anak burung Sun Corner dengan harga RM10,000.

“Kesemua haiwan terbabit dirampas dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Haiwan terbabit kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nor Azizan berkata, burung dan ayam laga berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran di sekitar Kelantan yang mempunyai peminat tersendiri.

“Penyeludup menjalankan aktiviti ketika waktu Maghrib kerana menganggap kawalan pihak berkuasa berkurangan pada tempoh masa berkenaan selain mencari pangkalan haram yang agak sunyi supaya kerja mereka tidak dapat dikesan.

“Bagaimanapun, hasil kepekaan anggota bertugas aktiviti penyeludupan dapat dikekang dan kawalan terus diperketatkan dari semasa ke semasa agar tiada pembolosan sempadan berlaku,” katanya.

Sumber: My Metro