Penyerahan Rumah Rakyat Pahang Diteruskan Di Raub

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan percuma oleh Kerajaan Pahang dapat membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan mempunyai kediaman sendiri.

Yang terbaru adalah penyerahan RRP yang pertama di Daerah Raub bagi tahun 2021 kepada penerima iaitu Puan Nor Afridawaty Ahmad di Kampung Tok Machang, Raub.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, majlis serah kunci itu diadakan di perkarangan RRP milik Puan Nor Afridawaty.
 
Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, YB. Dato’ Abd Aziz turut menyampaikan bantuan Kit Bumi Hijau sumbangan Pejabat Pertanian Daerah Raub.
 
“Puan Nor Afridawaty turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan Penjaja Tidak Berdaftar sebagai tanda prihatin pihak kerajaan dalam membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penerima.
 
“Saya berharap bantuan ini akan dapat dimanfaatkan oleh penerima untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” katanya.
 
Hadir sama pada majlis serah kunci itu ialah Pegawai Daerah Raub, YH Dato’ Muhammad Shahid Ismail, Ketua-ketua Jabatan Daerah Raub, Ahli-ahli Majlis Daerah Raub (MDR) dan Penghulu-penghulu Mukim Raub.
 
Kerajaan Pahang terus menyalurkan bantuan kepada rakyat khususnya penduduk yang terjejas dan memerlukan bantuan dengan pelbagai bentuk sumbangan termasuklah bantuan rumah secara percuma kepada penerima terpilih di kawasan Dewan Negeri dan Parlimen di seluruh Pahang.

Sumber: PAHANGMEDIA