LONDON: Impian Nicolas Jackson untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris akhirnya menjadi kenyataan apabila Chelsea membeli penyerang Senegal itu dari Villarreal pada harga 30 juta pound (RM178.37 juta).
Dia membuat penampilan profesional pertamanya di bawah kendalian Unai Emery, ketika pengendali Aston Villa itu membimbing kelab La Liga.
Ketika di Afrika, dia digelar “Pengganti Neymar” kerana kemahirannya menggelecek dan mengawal bola.
Jackson, 22, memulakan karier bola sepaknya di Senegal bersama Casa Sports sebelum disambar Villarreal pada tahun 2019.
Pada musim 2020-21, dia dipinjamkan ke kelab divisyen dua, Mirandes, dan meledak gol profesional pertamanya sebulan selepas menyertai kelab itu.
Villarreal kemudian meletakkan Jackson dalam skuad simpanan mereka dan pada tahun 2021, Emery memberikannya penampilan pertama dalam saingan La Liga.
Dia mula menyerlah musim lalu dengan meledak 18 gol La Liga. Selepas kecederaan pada Mac, Jackson kembali meledak sembilan gol sepanjang dua bulan berikutnya.
Senegal turut menyenaraikan Jackson untuk Piala Dunia Qatar dan dia membuat penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa ketika tewas kepada Belanda dalam perlawanan pembukaan.
Selepas Piala Dunia, Jackson hampir menjadi pemain Bournemouth, tetapi perpindahannya gagal disempurnakan akibat masalah kecederaan.
Dia kemudian membantu Villarreal menamatkan musim dengan sembilan gol dalam lapan perlawanan untuk pasukannya layak ke Liga Europa.
Bagaimanapun Jackson terpaksa melupakan pentas Liga Europa musim depan apabila menyertai Chelsea kendalian Mauricio Pochettino.
Sumber: BERITA HARIAN