Penyudah Selangor Luar Biasa – Fandi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Sri Pahang FC (SPFC) datang untuk bertahan terlebih dahulu namun jaringan Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-41 merosakkan ‘niat’ mereka sebelum tumbang 4-0 di tangan Selangor FC (SFC), malam tadi.

Kekalahan itu bukan setakat menyekat mereka daripada mara ke suku akhir Piala FA malah menyaksikan skuad Tok Gajah tumbang buat pertama kali musim ini.

Pengendalinya, Fandi Ahmad mengakui ‘Gergasi Merah’ jelas berada pada tahap terbaik pada aksi itu namun mereka perlu mengubah ‘skrip’ selepas ketinggalan satu gol memasuki baki 45 minit babak kedua.

“Kita agak kesulitan tetapi kita memang mahu bertahan dulu pada babak pertama namun ada sedikit kesilapan di hujung separuh masa pertama daripada pemain dan kita dibolosi.

“Jadi selepas ketinggalan, kita harus menyerang bagi mendapatkan gol dan terpaksa buka (permainan) dan terima padahnya. Serangan balas mereka lebih cepat dan penyudah yang luar biasa.

“Saya lihat mereka berada pada tahap yang berbeza dan tahap permainan pemain mereka juga memang baik sekali,” kata Fandi.

Pada aksi terbabit, SFC terus ‘garang’ selepas rehat apabila Mukhairi Ajmal menambah gol keduanya pada minit ke-59 disusuli Faisal Halim dengan gol ketiga (m67) sebelum Brendan Gan menutup malam gemilang tuan rumah dengan gol keempat (m71).

Mengulas lanjut aksi anak buahnya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), legenda Singapura itu melihat kekurangan ‘sengat’ di bahagian tengah menyebabkan mereka gagal memberi saingan yang berkualiti kepada SFC.

“Kita kurang pemain berkaliber di bahagian tengah yang boleh mencipta banyak peluang seperti Sergio Aguero dan Kevin Ingresso. Kita tiada kreativiti kerana tidak dapat memberikan bola kepada penyerang.

“Kita juga terlalu banyak buang bola walaupun sudah dimaklumkan bahawa kita boleh cuba bermain di bahagian belakang. Mungkin kerana di bawah tekanan jadi mereka banyak buang bola ke bahagian SFC,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN