Pepe Terlepas Aksi Bertemu Atletico Ekoran Positif COVID-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PORTO tanpa kapten pasukan, Pepe, untuk perlawanan penentuan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Atletico Madrid awal pagi esok selepas dia diuji positif untuk coronavirus.

Pendahulu Liga Portugal itu mara ke aksi terakhir Kumpulan B di tempat kedua, dengan Atleti dan Milan turut memburu slot ke pusingan 16 di belakang Liverpool.

Porto perlu beraksi tanpa pemain pertahanan tengah veteran Pepe, manakala Marko Grujic turut diragui akan beraksi kerana kecederaan buku lali.

Jurulatih Sergio Conceicao berkata semasa sidang akhbar semalam, “Pepe disahkan positif COVID. Ia adalah situasi yang tidak boleh dikawal.

“Bagi Grujic, dua hari lalu dalam latihan, dengan kualiti padang kami yang lemah, dia terseliuh [pergelangan kakinya].”

Milan dan Atleti hanya ketinggalan satu mata di belakang Porto dan Jurgen Klopp akan membuat perubahan untuk perjalanan Liverpool ke San Siro.

Conceicao yakin mereka mampu mencapai misi untuk pasukannya dengan kemenangan harus terhasil untuk memastikan tempat di kalah mati.

“Dalam keadaan ini, dalam pusingan terakhir peringkat kumpulan [bertanding untuk layak] adalah sesuatu yang patut dipuji oleh pasukan saya, dan mereka sepatutnya sudah berada di pusingan 16.

“Mana-mana pasukan [Porto, Milan dan Atleti] boleh bermimpi untuk mara ke pusingan berikutnya, tetapi kami perlu fokus pada apa yang perlu kami lakukan dalam perlawanan dan menang.”

Mateus Uribe (digantung perlawanan) dan Ivan Marcano (kecederaan kaki) bakal diketepikan, sementara Francisco Conceicao (kecederaan pinggul) dan Joao Mario (kecergasan) turut dijangka tidak akan beraksi.

Sumber: ASTRO ARENA