PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti yang dijadualkan bermula esok hingga Khamis.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL), yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.
“KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung dan Pelan Tindakan Menghadapi MTL.
“KPM juga bekerjasama dengan agensi seperti NADMA, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar,” katanya pada Sidang Media Khas Pengurusan Banjir KPM dan Persiapan Peperiksaan SPM, di sini hari ini.
Fadhlina berkata, seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).
“Calon di 9 negeri terjejas banjir akan digerakkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif. Ini bagi memastikan mereka dapat keselesaan dan ikut jadual peperikaan ditetapkan.
“Kerja pemindahan sedang dilaksanakan di semua peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Gerakan untuk pindahkan mereka sedang dilaksanakan bagi memastikan mereka dapat tinggal di asrama yang kondusif, selain dapat menjalankan ulang kaji secara lebih tersusun dengan sokongan sudah disiapkan,” katanya.
Isnin lalu, KPM memaklumkan peperiksaan SPM 2024 akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Februari ini.
Dalam satu kenyataan, KPM berkata, Ujian Lisan Bahasa Melayu akan bermula 2, 3, 4 dan 5 Disember ini, manakala Ujian Amali Sains pula bermula dari 9,10 dan 12 Disember.
Ia diikuti Ujian Lisan Bahasa Inggeris akan bermula 16,17,18, dan 19 Disember; Ujian Mendengar Bahasa Melayu (31 Disember) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (31 Disember).
Awal tahun depan, mulai 2 Januari hingga 6 Februari 2025, akan berlangsung peperiksaan bertulis.
Menyentuh persiapan KPM memandangkan banjir khususnya di Kelantan semakin buruk, Fadhlina berkata, kementerian itu bersiap siaga sepenuhnya termasuk kemungkinanberlaku situasi luar jangka yang mungkin menyukarkan calon SPM untuk hadir.
Katanya, persediaan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung.
Selain itu, KPM juga mempunyai Pelan Tindakan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan pekeliling mengenainya dikeluarkan kepada warga kementerian itu pada 22 Oktober lalu.
“Keputusan untuk meneruskan ujian bertutur SPM dibuat dengan mengambil kira nasihat NADMA, selain ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengenai situasi MTL yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025,” katanya.
Ditanya sama ada KPM ada menerima gesaan daripada mana-mana pihak bagi menangguhkan peperiksaan itu, Fadhlina berkata, setakat ini perkara itu tidak diutarakan.
“Tak ada gesaan tapi kita sudah bersiap sedia (dengan pelbagai persediaan), ini mengambil kira banjir berlaku setiap tahun. Barangkali apa yang kita akan tingkatkan adalah persiapan luar jangka. Ini merangkumi semua aspek daripada keselamatan, kesiapsiagaan termasuk memberikan khidmat psikososial (kepada pelajar calon SPM terjejas akibat banjir).
“Jika ada perkara yang berlaku di luar jangkaan, kita turut bersedia untuk tambah baik, setakat ini (gerak kerja) diteruskan seperti biasa mengikut pedoman pihak keselamatan yang diberikan dari masa ke masa,” katanya.
Setakat jam 1 tengah hari ini, 150,753 keseluruhan mangsa banjir direkodkan di 10 negeri terjejas dengan Kelantan kekal mendahului dengan 96,757 orang, membabitkan 29,871 keluarga.
Sembilan negeri lain yang turut terjejas adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu.
– BERITA HARIAN