SEREMBAN: Menggunakan setiap peluang dengan sebaiknya menjadi kunci kepada kejayaan Perak FC membenam Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Itu antara rumusan dibuat pengendali Perak, Yusri Che Lah, selepas pasukannya berjaya meneruskan rentak kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC dalam suku akhir Piala Malaysia.
Menurutnya, walaupun tidak banyak percubaan tepat dapat dihasilkan jentera serangan pasukan itu susulan kesukaran melepasi bahagian benteng Negeri Sembilan, namun pemainnya berjaya menggunakan peluang yang terhad untuk menjaringkan gol.
“Saya memberikan kebebasan kepada pemain untuk mencorakkan persembahan pasukan dan ingatan sebelum perlawanan hanya mahu mereka beraksi pada tahap keupayaan sebenar serta tidak terlalu memikirkan keupayaan lawan.
“Saya hanya mahu mereka memberikan persembahan terbaik dan anggap setiap perlawanan itu adalah penting untuk kerjaya masa depan dan keluarga.
“Jelas, pemain menunjukkan kemampuan sebenar dan keinginan tinggi untuk menang walaupun menerima tentangan sengit daripada Negeri Sembilan,” kata Yusri.
Pemain import berasal dari Yugoslavia, Luka Milunovic meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-50, untuk membantu Perak meraih tiga mata.
Mengulas lanjut, Yusri percaya kemenangan dicapai ke atas skuad Hobin Jang Hobin itu dapat meningkatkan lagi keyakinan anak buahnya menjelang pertembungan separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) pada 19 Oktober ini.
– BERITA HARIAN