Perancis Elak Dimalukan Maghribi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DOHA – Pemain pertahanan Perancis, Raphael Varane menegaskan penyandang juara Piala Dunia itu tidak akan ada rasa puas hati apabila berdepan pasukan penuh kejutan Maghribi pada separuh akhir awal pagi Khamis ini.

Selepas menewaskan England pada suku akhir, Les Bleus muncul pilihan utama untuk layak ke final sekalipun Maghribi sudah menyingkirkan Sepanyol dan Portugal pada pusingan kalah mati di Qatar.

“Kami mempunyai cukup pengalaman dalam pasukan untuk tidak terpedaya dengan perangkap itu,” kata Varane, salah seorang daripada pemain Perancis yang kekal daripada skuad juara Piala Dunia 2018, apabila ditanya mengenai bahayanya jika terlalu yakin.

“Kami sedar Maghribi bukan berada di sini secara kebetulan. Terpulang kepada kami pemain berpengalaman untuk memastikan setiap orang bersedia bagi satu lagi pertarungan.”

Perancis mencapai sasaran ditetapkan persekutuan bola sepak negara itu dengan layak ke separuh akhir tetapi pertahanan Manchester United, Varane berkata, pasukan itu kemaruk untuk menempah tempat ke final Ahad ini menentang sama ada Argentina atau Croatia.

“Tidak mudah untuk layak ke separuh akhir Piala Dunia jadi kami amat gembira, tetapi satu-satunya objektif sebenar adalah menjuarainya,” katanya. “Itulah matlamat yang sering diidamkan.”

Rakan pertahanan Jules Kounde memuji Maghribi kerana sejarah yang mereka cipta – pasukan pertama Afrika layak ke separuh akhir Piala Dunia dan pasukan pertama Arab melakukannya.

Anak buah Walid Regragui mengalahkan Portugal 1-0 pada suku akhir selepas menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 16 terakhir.

Mereka turut mengalahkan Belgium dan seri dengan Croatia pada peringkat kumpulan dan hanya dibolosi satu gol, itu pun menerusi gol sendiri, dalam lima perlawanan mereka setakat ini.

“Mereka amat tersusun, dengan aturan pemain rapat antara satu sama lain dan mereka tidak membiarkan pemain yang memegang bola terlalu lama,” kata Kounde, pertahanan kanan Barcelona.

“Mereka juga berlari amat pantas, jadi kami perlu bermain dengan beberapa sentuhan, menggerakkan bola dengan cepat dan cuba menyukarkan mereka dengan menghantar bola dari satu arah ke satu arah lain.

“Amat mengagumkan mereka hanya melepaskan satu gol setakat ini, apatah lagi mengambil kira pasukan yang mereka hadapi,” tambahnya.

Sumber : BERITA HARIAN