DOHA – Perancis tidak akan memberikan fokus kepada mana-mana pemain tertentu apabila mereka menentang England pada saingan suku akhir Piala Dunia awal pagi Ahad ini, kata pertahanan pasukan, Ibrahima Konate.
England mempunyai barisan tengah kental dengan tumpuan utama terarah kepada Harry Kane yang berada di puncak prestasi namun ‘bahaya’ boleh hadir dari pelbagai sudut dan pasukan penyandang juara, Perancis tidak akan terlalu memberikan tumpuan terhadap penyerang Tottenham Hotspur itu.
“Kane adalah pemain yang hebat. Saya pernah bermain menentangnya beberapa kali sebelum ini,” kata bek tengah Liverpool, Konate.
“Kami perlu melihat kepada keseluruhan pasukan, bukan hanya seorang pemain saja. Sekiranya kami bermain secara berpasukan, kekal kompak kami boleh beraksi dengan baik. Saya tidak akan menyasarkan kepada seorang pemain saja.
“Bola sepak bukan dimainkan dengan satu, dua atau empat pemain. Kami perlu bercakap mengenainya secara kolektif, bagaimana untuk mengkucar-kacirkan mereka secara kolektif. Itu adalah tugas jurulatih untuk menunjukkan kepada kami apa yang kami tidak dapat lihat.”
Pandangan Konate itu nyata tepat sekiranya mengambilkira daripada statistik yang menyaksikan lapan pemain England sudah menjaringkan 12 gol dalam empat perlawanan sebelum ini.
Daripada sudut lain, Kylian Mbappe sudah menjaringkan lima gol daripada sembilan jaringan Perancis.
Olivier Giroud pula meledak tiga gol dan ia membuatkan jurulatih England, Gareth Southgate mudah mengenalpasti sasaran yang perlu diberikan tumpuan.
Begitupun, pemain tengah Adrien Rabiot tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai satu masalah buat Les Bleus.
“Kami tidak bergantung kepada Kylian. Kami hanya tahu yang 80-90 peratus jaringan kami hadir daripadanya kerana dia mampu membantu jaringan dan tugas kami adalah meletakkannya dalam posisi terbaik untuk melakukannya,” kata pemain Juventus itu.
Mbappe tidak mengambil bahagian dalam sesi latihan berkumpulan kelmarin namun persekutuan bola sepak Perancis berkata, pemain berkenaan menjalani proses pemulihan secara sendiri dan ia adalah sesuatu yang normal dua hari selepas satu perlawanan.
“Semalam adalah sesi pendek, tidak ada apa yang perlu dirisaukan, dia menjalani latihan dari dalam,” kata Konate.
Sumber : BERITA HARIAN