KUALA LUMPUR: Tumpuan seluruh negara terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, petang ini.
Perbincangan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang itu, difahamkan adalah bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri baharu dan kerajaan susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perbincangan itu adalah yang ketiga berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.
Difahamkan, perbincangan itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas semalam.
Sesi itu diadakan selepas mereka menghantar surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong pelantikan Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setakat ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas dikatakan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemimpin parti politik termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Yang turut hadir menghadap Seri Paduka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Dalam pertemuan itu, baginda bertitah supaya semua parti politik bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.
Sebelum ini, mesyuarat khas Raja-Raja Melayu diadakan pada 28 Februari tahun lalu di Istana Negara bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Ia menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tumbang.
Majlis Raja-Raja kemudiannya sekali lagi bersidang pada 16 Jun lalu atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong dann dipengerusikan baginda di Istana Negara.
Perbincangan khas itu tertumpu kepada usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya ketika tempoh darurat.
Sumber: Berita Harian