Percayakan ‘Datuk’, RM25,000 lesap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Peniaga menanggung kerugian hampir RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula pada Rabu lalu apabila peniaga lelaki berusia 43 tahun yang berada di Besut itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali dengan memperkenalkan dirinya sebagai wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut sumber, individu berkenaan mendakwa mangsa tidak membayar cukai LHDN sebanyak RM38,600 selama 15 bulan ke atas sebuah syarikat di Kuantan yang didaftarkan atas namanya.

Katanya, individu terbabit memaklumkan mahkamah sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap peniaga berkenaan atas kesalahan itu dan meminta mangsa membuat laporan polis dengan segera sebelum talian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kuantan.

“Sebaik panggilan disambungkan, mangsa berbual dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum suspek memaklumkan semakan mendapati nama mangsa disalahgunakan atas kegiatan jenayah.

“Mangsa dimaklumkan ada seorang individu bergelar ‘Datuk’ akan membantunya untuk menyelesaikan masalah itu.

“Mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada ‘Datuk’ itu pada hari yang sama dan individu berkenaan meminta nombor akaun mangsa dengan alasan mahu menyelamatkan duit mangsa sebelum mengarahkannya supaya memuat naik aplikasi Bank Negara bagi mengelakkan duitnya disita,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa mengisi borang yang diperlukan selepas memuat naik aplikasi Bank Negara sebelum ‘Datuk’ terbabit meminta mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM6,800 ke dalam nombor akaun diberikan.

Menurutnya, mangsa ada menerima pesanan daripada pihak bank yang memaklumkan dia ada melakukan beberapa transaksi ke dalam nombor akaun tidak dikenali pada hari yang sama.

“Mangsa kemudian menghubungi pihak bank sebelum dimaklumkan baki di dalam akaunnya hanya tinggal RM38 sahaja kerana dia sudah membuat beberapa transaksi sebelum itu.

“Berikutan itu, mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: My Metro