WELLINGTON: Menteri perdagangan dan luar negara rantau pasifik mencapai kata sepakat yang perdagangan bebas dan ekonomi terbuka akan memacu pemulihan rantau ini daripada wabak COVID-19.
Menteri daripada 21 negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) membuat ketetapan itu dalam mesyuarat maya, semalam, bagi membincangkan pelan tindak balas COVID-19 mereka sebelum mesyuarat pemimpin negara pada Sabtu ini.
Mesyuarat itu dijadual disertai Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping.
Menteri Perdagangan New Zealand, Damien O’Connor yang menjadi penganjur mesyuarat itu, berkata turut menjadi perbincangan mereka termasuk rancangan menghentikan subsidi bahan api fosil secara sukarela dan komitmen untuk meliberalisasi tarif ke atas vaksin dan bekalan perubatan pandemik lain.
Katanya, terdapat persetujuan menyeluruh mengenai keperluan untuk mengelak daripada membina halangan perdagangan sebagai tindak balas kepada cabaran yang ditimbulkan pandemik wabak itu.
“Perdagangan bebas, adil dan terbuka akan membantu ekonomi bergerak ke hadapan sekali gus keluar daripada pandemik ini.
“Kita memerlukan keterbukaan untuk memacu pertumbuhan global, maka perdagangan yang memberikan penyelesaian kepada cabaran kita.
“Kira-kira 81 juta pekerjaan hilang di seluruh rantau ini disebabkan COVID-19 dan kesan terhadap rantaian bekalan adalah ketara, tetapi ahli APEC menolak perlindungan semasa krisis ini,” katanya.
21 negara anggota APEC secara kolektif menyumbang hampir 40 peratus daripada populasi dunia dan sekitar 60 peratus daripada ekonomi global.
Sidang kemuncak itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Auckland tetapi terpaksa diadakan secara dalam talian buat kali kedua berikutan COVID-19 selepas Malaysia menjadi tuan rumah secara maya pada tahun 2020.
Apabila pemimpin APEC bertemu semula pada awal Sabtu waktu New Zealand, topik perbincangannya akan merangkumi cara membuka semula sempadan tanpa menyebarkan virus, memastikan pemulihan pandemik yang saksama dan bergerak ke arah ekonomi bebas karbon.
Sementara itu, Menteri Luar New Zealand Nanaia Mahuta, berkata anggota APEC bersetuju untuk menghantar mesej yang kuat berkenaan penamatan sebarang kenaikan subsidi bahan api fosil.
“Subsidi ini menyebabkan ekonomi kita memerlukan berbilion-bilion dolar setahun, tetapi kesan sebenar adalah terhadap alam sekitar kita,” katanya.
Sumber: Berita Harian