Perdana Menteri Lancar Program Duta Komuniti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KANGAR  – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Program Duta Komuniti yang merupakan satu program duta berhemah seiring proses peralihan negara ke fasa endemik yang akan bermula pada 1 April nanti.

Pelancaran itu dilakukan Perdana Menteri bersempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perlis 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini. Beliau diiringi Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa serta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Sementara itu, Annuar dalam satu kenyataan berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah diberi amanah sebagai penyelaras program itu, yang berasaskan semangat kesukarelaan selaras hasrat kerajaan dalam memastikan usaha pembudayaan kawalan kendiri oleh komuniti semasa Fasa Peralihan Ke Endemik berjalan lancar.

“Justeru, pelancaran Duta Komuniti oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sempena Jelajah AKM di Kangar, Perlis hari ini adalah untuk memperkenalkan Duta Komuniti kepada masyarakat awam sebelum pelaksanaan fasa peralihan ini,” katanya.

Annuar berkata selain K-KOMM, program Duta Komuniti akan turut disertai 10 kementerian melalui agensi masing-masing untuk memastikan program itu adalah daripada dalam kalangan rakyat sendiri.

Kementerian yang terbabit termasuk Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)  serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Turut terlibat ialah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Kementerian Perpaduan Negara (KPN); Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP); serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut Annuar, pemain sektor swasta turut akan dilibatkan dalam menjayakan program itu dengan pelantikan Duta Komuniti bagi menjayakan pembudayaan kawalan kendiri dalam komuniti di kawasan seliaan mereka semasa Fasa Peralihan Ke Endemik.

“Misalnya di Fasa 1, Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) telah menyatakan hasrat untuk melaksanakan program ini di lapangan terbang dan Pos Malaysia di setiap kawasan yang dimasuki untuk penghantaran surat dan barangan.

“Pelantikan Duta Komuniti akan dibuat secara rasmi dengan penglibatan secara sukarela dan akan dibekalkan dengan manual tanggungjawab sebagai Duta Komuniti serta aksesori khas bagi tujuan pengenalan,” katanya.

Annuar berkata Duta Komuniti akan mendidik masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan seiring dengan penekanan pemerkasaan komuniti dengan tanda pagar  #ReopeningSafety secara berhemah mengikut tatacara yang sesuai.

Beliau berkata data mengenai kes COVID-19 di setiap kawasan yang diberi KKM juga akan dapat memastikan pelaksanaan Duta Komuniti yang efektif dalam usaha mengingatkan komuniti supaya sentiasa patuh kepada SOP dan garis panduan.

Menurutnya, Fasa Pertama Program Duta Komuniti akan bermula dari 1 hingga 30 April 2022, manakala Fasa Kedua dari 1 Mei hingga 30 Jun 2022, dan Fasa Ketiga dari 1 Julai hingga 30 Sept 2022 mengikut kesesuaian keadaan.

“Bagi mencapai impak secara menyeluruh kepada semua kumpulan sasar, K-KOMM mengalu-alukan sokongan masyarakat yang berkelayakan menjadi Duta Komuniti untuk memberikan sokongan kepada program ini dengan mengikut semua SOP sedia ada,” katanya.

Sumber: BERNAMA