Perez Kuasai Litar Jalan Raya Jeddah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JEDDAH – Pemandu Red Bull, Sergio Perez mengatasi rakan sepasukan, Max Verstappen untuk memenangi Grand Prix Arab Saudiaudi.

Keputusan untuk tempat ketiga bagaimanapun terpaksa ditunggu sehingga awal pagi apabila Fernando Alonso pada awalnya digugurkan daripada podium sebelum disahkan kembali kedudukan itu.

Perez, 33, mengatasi juara bertahan itu dengan kelebihan 5.355 saat untuk kemenangan satu dua Red Bull, dengan rakan sepasukan dari Belanda itu mengejar dari petak ke-15.

Verstappen turut mencatat pusingan terpantas pada pusingan terakhir untuk mengekalkan kedudukannya dalam kejuaraan pemandu.

Ia adalah kemenangan kelima dalam karier Perez selepas mengungguli perlumbaan di Monte Carlo dan Singapura yang menjulangnya sebagai raja litar jalan raya.

“Ia lebih sukar daripada jangkaan. Kereta keselamatan cuba merampas kemenangan daripada kami sekali lagi di sini, tetapi bukan tahun ini! Pasukan melakukan tugas mereka dengan baik. Sekarang kami perlu terus berusaha,” kata Perez.

Juara dunia dua kali, Alonso menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk Aston Martin bagi penamat podium ke-100 dalam kariernya, dan melebarkan rekod perlumbaannya kepada 357.

Alonso pada awalnya dihukum penalti lima saat kerana bermula di luar petak dan ketika menjalani hukuman di hentian pit, steward mendakwa jack menyentuh kereta terlalu awal dan dikenakan tambahan penalti 10 saat.

George Russel dari Mercedes naik ke tempat ketiga.

Bagaimanapun Aston Martin meminta ia dinilai semula dan menunjukkan rakaman insiden sama di mana tiada tindakan dikenakan.

Steward menerima permintaan mereka dan hukuman ditarik balik. Alonso kembali ke tempat ketiga diikuti oleh Russel dan Lewis Hamilton dari Mercedes.

– BERITA HARIAN