Fatima Al-Fihri : Pembangun Universiti Tertua Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Fatimah al-Fihri, nama yang sangat jarang disebut dalam dunia pendidikan atau apa-apa jua bidang.

Walhal beliau merupakan muslim dan wanita pertama yang mendirikan sebuah institusi pendidikan tinggi yang pada awalnya sebuah masjid, sehingga seterusnya berkembang sebagai sebuah universiti. Ya, sebuah universiti pertama dalam sejarah Islam.

Fatimah al-Fihri atau Fatimah Muhammad al-Fihri dilahirkan pada tahun 800M dari keluarga yanga kaya-raya dan berketurunan bangsawan. Bapanya, Muhammad bin Abdulllah al-Fihri, merupakan seorang saudagar berjaya di kota Tunisia.

Awal abad ke-9, Muhammad bin Abdulllah al-Fihri berserta keluarganya berhijrah dari Qayrawan (Tunisia), ke Kota Fez di Maghribi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Walaupun Fatimah al-Fihri dibesarkan dalam keluarga yang sangat kaya, mereka sekeluarga memiliki keperihatian dan kepekaan yang tinggi terhadap masyarakat, selain gemar bersedekah dan bergaul dengan setiap lapisan penduduk.

Beliau sering dijuluki dengan nama ‘Oum al-Banine’, yang bermaksud ‘ibu dari anak-anak Fesz’. Di Fez ketika itu, telah berkembang sebagai sebuah kota yang sangat maju dan padat dengan penduduk Muslim non-Arab.

Bidang ekonomi juga berkembang sangat pesat sehinggakan menjadikan Fez sebagai kota Muslim yang sangat berpengaruh. Termasuklah keluarga Fatimah al-Fihri yang menjadi pengusaha Muslim yang sangat berjaya di kota itu.

Sehingga suatu ketika, selepas kematian bapa dan suaminya, Fatimah hanya tinggal bersama-sama dengan adik permpuannya yang bernama Mariam, bersama mereka adalah harta kekayaan yang melimpah ruah.

Fatimah dan Maryam bersepakat untuk menggunakan semua harta kekayaan itu untuk sesuatu yang lebih bermakna dan dapar mengalirkan kebaikan pahala yang berterusan, iaitu membina dan membangunkan masjid dan universiti!

Salah satu tujuannya, adalah demi kemajuan masyarakat di kota tersebut iaitu cita-cita mereka sejak mula mendiami kota itu.

Fatimah al-Fihri dan Maryam merupakan wanita yang sangat berpendidikan, bahkan terlalu mencintai ilmu pengetahuan, termasuklah, ilmu keagamaan, ilmu umum atau sains, selain pembinaan dan sebagainya.

Fatimah memilih untuk membangunkan masjid, yang dinamakan al-Qarawiyyin (Masjid Jami’ al-Syurafa’). Sementara Maryam membina Masjid al-Andalus, di Sepanyol yang kemudiannya turut berkembang sebagai pusat keilmuan dan pendidikan.

Pembangunan masjid itu bermula pada bulan Ramadan 245H/859M. Fatimah al-Fihri terlibat dari awal pembinaanya, termasuklah dari merancang rekabentuk, memilih lokasi strategik, mengawal dan mengarahkan dalam setiap perkara berkaitan dengan pembinaan masjid tersebut sehingga ianya siap.

Dikatakan juga Fatimah gemar berpuasa sunat selama pembangunan masjid itu berlangsung. Seluruh pembiayaan masjid itu juga adalah dari harta peribadi miliknya sendiri dan harta yang diwarisinya.

Dua tahun kemudian, iaitu pada 861M, berdirilah sebuah masjid megah yang dinamakan sebagai al-Qarawiyyin. Pada tahun itu, masjid tersebut mulai berkhidmat kepada masyarakat sekitar dan para pencari ilmu dari wilayah-wilayah lainnya.

Di Masjid al-Qarawiyyin inilah berlangsungnya sistem pendidikan formal yang sama taraf dengan sebuah universiti, yang akhirnya menjadi tapak kepada berdirinya Universiti al-Karaouine (al-Qarawiyyin) di Fez, Maroko. Lalu berkembang dengan dibinanya kelas dan ruang belajar.

Tidak lama kemudian, Masjid al-Qarawiyyin menjadi salah satu pusat dan tujuan utama para penuntut ilmu mendatangi Fez. Sama ada dari Morocco sendiri, semenanjung Arab, Asia malah Eropah.

Antara cabang ilmu yang diajarkan di Universiti al-Qawariyyin ini meliputi ilmu Tafsir, Fiqih, Bahasa Arab, Matematik, Sejarah, Falsafah, Perubatan, Kimia, Astronomi, Retorik, Muzik, Rekabentuk Bangunan dan banyak lagi cabang ilmu.

Pada abad ke-14M, jumlah mahasiswa di univeristi ini sudah melebihi 8,000 orang. Para ulama diberi amanah dan tugas untuk mengajar di Universiti al-Qarawiyyin. Lantas Fez berubah menjadi kota yang penuh dengan aktiviti keilmuan.

Ketika itu Universiti al-Qarawiyyin dianggap sebagai pusat keilmuan yang utama di Mediteranean. Bahkan dengan kepesatan kelimuan di Fez, ianya sudah sebaris dengan pusat ilmu tersohor waktu itu, Cordova.

Universiti juga tidak hanya ditubuhkan untuk golongan Muslim sahaja, tetapi untuk penuntut yang beragama lain juga. Dengan itu banyak mahasiswa Yahudi dan Kristian menyertai kelas keilmuan di universiti ini.

Dengan kegemilangan Universiti al-Qarawiyyin ketika itu, Gerber iaitu seorang tokoh dari Auvergne turut menjadi mahasiswa di sana. Gerber kemudian menjadi Paus Silvester II dan kemudian memperkenalkan angka Arab dan angka nol ke seluruh Eropah.

Selain itu, Universiti ini juga telah melahirkan begitu ramai tokoh, cendiakawan, pemikir dan ilmuwan Muslim yang terkemuka dan ulung. Antaranya:
#1- Abu Abullah al-Sati
#2- Abu al-Abbas al-Zawawi
#3- Ibnu Rashid al-Sabti
#4- Abu Madhab al-Fas
#5- Ibn al-Arabi
#6- Ibnu Khaldun
#7- Ibnu al-Khatib
#8- Alpetragius (al-Bitruji)
#9- Ibnu Harazim
#10- Leo Africanus
#11- Maimonides (Ibnu Maimun)
#12- Muhammad Taqiuddin al-Hilali
#13- Abdullah al-Ghumari

Universiti al-Karaouine ini juga dicatatkan sebagai kampus tertua di dunia (Guiness Book of World Records, 1998) sebelum dibinanya Universiti al-Azhar di Mesir, Universiti Cambridge, Harvard, Oxford dan lain-lainnya.

Bahkan, di Eropah sekitar abad ke-11M barulah lahirnya University of Bologna di Itali baru. Kemudian diikuti oleh University of Paris di Perancis dan Oxford University di England pada abad ke-12 M.

Ternyata, keputusan Fatimah al-Fihri untuk membina sebuah masjid yang berfungsi sebagai pusat ilmu adalah tidak salah.

Bukan sahaja melengkapkan cita-cita kepada golongan yang cintakan ilmu, tetapi berjaya menapakkan sebuah pusat keilmuan yang mengalirkan ilmu kepada para penuntut sehingga selamanya.

Lihatlah, universiti yang mula-mula dibinanya dari pembangunan masjid, kini dijadikan rujukan oleh dunia.

Fatimah al-Fihri yang yang meninggal dunia pada tahun 266H/880M telah meninggalkan sebuah jasa agung kepada sejarah peradaban dunia Islam yang tidak kecil, tetapi sentiasa berkembang selama-lamanya.

Semoga jasa dan kebaikan beliau terus mewangi dengan kemuliaan yang dinilai baik di sisi Allah s.w.t, amiin.