MACHANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengerahkan pasukan mengesan seekor harimau belang yang dirempuh kenderaan, di Tok Bok-Selising, pada 7 Julai lalu.
Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata pasukan renjer sudah ke tempat kejadian untuk mengesan haiwan itu.
Katanya, mereka belum dapat menentukan jantina harimau belang itu dan pemantauan masih dijalankan.
“Kami percaya harimau belang ini berkeliaran di kawasan itu sejak sekian lama.
“Setakat ini PERHILITAN belum menerima aduan mengenai kehadiran haiwan itu,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video seorang pemandu terlanggar seekor harimau belang di Jalan Tok Bok-Selising, Machang.
Kejadian pukul 11.24 malam itu dirakam oleh kamera hadapan kenderaan berkenaan.
Harimau belang itu kemudian memasuki semak berhampiran.
Sumber: BERITA HARIAN