Perhilitan Pastikan Tiada Ancaman Harimau di Cameron Highlands

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengesahkan aduan kelibat harimau di Cameron Highlands yang tular di media sosial sejak semalam, adalah berasas dengan penemuan tapak kaki haiwan terbabit.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan perkara itu pada Khamis lalu dan siasatan menemukan kesan tapak kaki kira-kira satu kilometer (km) dari perkampungan Orang Asli Kampung Ubi, Cameron Highlands.

“Pemantauan di lokasi kejadian serta kawasan sekitar sedang dijalankan oleh kakitangan Perhilitan Pahang dan Perak. Pemantauan akan diteruskan bagi memastikan harimau itu kembali ke habitatnya dan tiada ancaman kepada penduduk,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rozidan mengulas mengenai rakaman video tular berdurasi 26 saat yang menunjukkan haiwan pemangsa itu berada di kawasan semak didakwa berlaku di Cameron Highlands.

Ia adalah video kedua berkaitan kelibat harimau belang selepas video pertama berdurasi 17 saat tular pada 5 Februari lalu yang dikatakan berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Bagaimanapun, pada 7 Februari lalu, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menerusi kenyataan media berkata, pemeriksaan oleh Unit Harimau, Perhilitan Perak mendapati lokasi sebenar harimau itu ialah di Ladang Agroto, Perak berhampiran dengan Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak.

Sumber: HARIAN METRO