London – Thomas Tuchel memuji fokus dan ketenangan Chelsea ketika mereka menewaskan Crystal Palace 2-0 untuk menempah tempat ke final Piala FA menentang Liverpool yang mencari empat kejuaraan.
Barisan Tuchel terpaksa bekerja keras untuk mematahkan serangan Palace pada aksi separuh akhir di Wembley tapi aksi balas Ruben Loftus-Cheek meletakkan mereka di landasan tepat untuk membuat penampilan ketiga berturut-turut di final Piala FA.
Mason Mount memastikan mereka terus selesa bagi mengesahkan pertemuan Chelsea menentang Liverpool pada perlawanan akhir di Wembley 14 Mei ini.
Ia akan menjadi final Piala FA kelima Chelsea dalam tempoh enam tahun dan kini berusaha untuk menebus kekalahan kepada Arsenal dan Leicester masing-masing pada 2020 dan 2021.
Kemenangan itu juga mengubat kekecewaan selepas tersingkir di suku akhir di Liga Juara-Juara kepada Real Madrid Selasa lalu walaupun berjaya bangkit mengatasi defisit 3-1 sebelum tewas dalam masa tambahan.
“Saya rasa persembahan amat terkawal dan sangat serius. Ia sukar, lawan menukar sistem mereka sebanyak dua kali, tetapi kami mematahkan serangan balas mereka.
“Ia amat mencabar daripada segi mental dan fizikal. Kami adalah pasukan yang mempunyai paling banyak minit di Eropah,” kata Tuchel.
Tuchel berjaya memenangi Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab dan Piala Super UEFA sepanjang membimbing Chelsea, tetapi masih belum berjaya meraih sebarang trofi domestik.
Kemenangan ke atas Palace memastikan harapan untuk mengakhiri musim dengan trofi masih bernyala, walaupun lawan di final nanti adalah Liverpool yang masih di landasan untuk memburu empat kejuaraan musim ini.
The Reds yang menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir, mengecewakan Chelsea pada final Piala Liga musim ini menerusi sepakan penalti.
Sumber: HARIAN METRO