Peribadi Maryam Yang Dinyatakan Dalam Al-Quran Untuk Diteladani

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Siapa yang tidak kenal dengan wanita yang cukup hebat ujiannya, iaitu Maryam binti Imran. Beliau merupakan anak perempuan kepada Hannah binti Faqudz dan Imran. Nama Imran cukup terkenal sehingga kisah keluarganya ada dirakamkan dalam surah Imran.

Kisah Maryam juga dirakamkan dalam surah Maryam yang turut menghimpunkan kisah Nabi Zakaria dan Nabi Yahya serta Nabi Ibrahim dan ayahnya.

Namun, perkongsian kali ini bukan untuk memperlihatkan kisah-kisah yang dirakamkan melalui surah tersebut, namun untuk menelusuri kehebatan tokoh hebat ini.

Dalam sebuah riwayat dari Saidatina ‘Aisyah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemuka wanita syurga ada empat, iaitu; Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulullah, Khadijah binti Khuwailid dan Asiyah.” (Hadis Riwayat Hakim, no. 4853)

Hadis ini menunjukkan bahawa Maryam merupakan tokoh wanita yang sangat hebat sehingga beliau merupakan salah seorang daripada ketua ahli syurga.

Sifat Maryam juga ada disebut dalam surah lain seperti At-Tahrim yang mengatakan bahawa beliau adalah wanita terhormat yang sentiasa berusaha menjaga kemuliaan dirinya.

Mafhum: “Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki: tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan ia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah tuhannya serta kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.” (Surah At-Tahrim, 66:12)

Melalui dalil di atas, ia menyifatkan Maryam sebagai wanita yang taat dengan agama dan tidak pernah berpaling dari Allah. Kisah Maryam adalah bukti bahawa ujian yang Allah berikan kepada manusia adalah untuk mendekatkan lagi jiwa kepada Allah.

Maryam membesar dalam kalangan Bani Israel yang terhormat. Beliau dikenali sebagai wanita yang rajin ibadahnya dan diberkati Allah dengan berada di dalam penjagaan Zakaria.

Zakaria merupakan saudara terdekatnya. Zakaria telah mengasuh Maryam dengan penuh kasih sayang dan membekalkan ilmu agama kepada Maryam.

Kehidupan Maryam lebih banyak berada di Baitul Maqdis berbanding di luar. Ini membuktikan bahawa Maryam banyak mengabdikan diri kepada Allah dan diberi tempat khusus oleh Zakaria untuk fokus beribadah.

Maryam juga terkenal dengan gelaran Adzra yang bermaksud gadis perawan. Beliau memiliki banyak keistimewaan lain yang disebut dalam al-Quran dan juga dalilNya. Antaranya ialah:

1. Satu-satunya wanita yang namanya menjadi surah di dalam al-Quran.

2. Maryam berasal dari keturunan yang terhormat dan terjaga. Beliau dipelihara pula oleh utusan Allah dan melahirkan Nabi Isa AS.

3. Maryam merupakan teladan wanita terbaik sepanjang zaman.

4. Maryam dipilih Allah untuk menerima amanah yang sangat besar, iaitu dengan menjadi ibu kepada Nabi Isa AS.

Dalam al-Quran atau hadis, tiada penjelasan lanjut mengenai tarikh kewafatannya tetapi ada disebutkan dalam beberapa kitab seperti yang dikarang oleh Ulama At-Thabari menyebut bahawa beliau telah meninggal dunia sekitar 20 tahun selepas peristiwa Nabi Isa diangkat ke langit.

Sumber: 1. TZKRH.COM

               2. Kajian Kisah Maryam Dalam Al-Quran

               3. Kajian Surah Maryam