Penghujung tahun bukan sahaja tarikh di mana rata-rata orang sedang memanfaatkan cuti atau berusaha untuk mencapai saki baki azam yang telah dicitakan, tetapi ia juga merupakan tarikh di mana anda akan mendapat undangan perkahwinan daripada orang terdekat.
Pastinya bakal-bakal pengantin sedang sibuk menyiapkan persiapan perkahwinan mereka sebelum tibanya hari perkahwinan tersebut. Bukan mudah untuk membuat persiapan perkahwinan apatah lagi untuk menghadapi hari selepasnya.
Setiap kebahagiaan dan air mata rumah tangga itu merupakan ujian yang Allah hadirkan agar setiap pasangan mampu mengharunginya dengan penuh matang dan rasional.
Apabila mendapat undangan seperti ini, pasti terdetik perasaan – ‘Alangkah indahnya dapat mengharungi alam perkahwinan.’
Malah, banyak lagi perasaan lain yang akan hadir dalam diri seperti tumpang gembira untuk kawan atau buat mereka yang belum berkahwin, pasti mengharapkan agar detik bahagia itu segera hadir dalam hidup anda.
Sebenarnya, perasaan itu hadir kerana anda didedahkan dengan keadaan sekeliling apabila ramai yang sudah mula melangsungkan perkahwinan dan juga apabila ibu bapa atau keluarga anda mula bertanya mengenai giliran anda pula.
Oleh itu, jangan cepat gelabah dan mula mencari jodoh atau memaksa pasangan anda untuk segera melangsungkan perkahwinan sedangkan anda sendiri tidak pasti sama ada sudah bersedia atau tidak.
Bersedia itu bukan sahaja dari segi mental anda, tetapi kewangan sebelum dan selepas alam perkahwinan, penerimaan keluarga kedua belah pihak dan sebagainya.
Perkahwinan itu sendiri merupakan sebuah fasa baru dalam kehidupan seseorang. Jika dilihat dalam drama-drama televisyen, semua perkara yang ditonjolkan indah dan baik-baik sahaja sedangkan dalam pekahwinan itu pasti wujud pasang surutnya yang tersendiri.
Apabila melihat pasangan yang menonjolkan kebahagiaan di media sosial, itu bukanlah bermaksud tiada masalah dan pertelingkahan, namun mereka memilih untuk menyelesaikannya secara baik dan tidak menonjolkan aib pasangan. Siapa sahaja yang ingin berkongsi kesedihan, bukan? Setiap orang pasti ingin berkongsi kebahagiaan masing-masing.
Malah, apabila ditanya nasihat mereka yang sudah berpengalaman, pasti akan berkata:
“Kahwinlah apabila mampu. Kerana jika berkemampuan, pasti perasaan sedia itu akan menyusul sendiri.”
Tuntasnya, jangan risau apabila berhadapan dengan situasi sedemikian. Jika ditanya mengenai giliran anda pula, berilah jawapan yang baik-baik agar mereka juga boleh turut mendoakan. Yang penting ialah mampu.
Sumber: TZKRH.COM