Perkeso Kelantan Bayar Lebih RM600,000 Kepada Bekas Pesakit Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menerima 2,446 permohonan tuntutan bekas pesakit Covid-19 di bawah Skim Bencana Pekerjaan sejak Mac lalu.

Pengarahnya Nora Yaacob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,175 permohonan sudah diluluskan membabitkan pembayaran sebanyak RM679,568.37.

Menurutnya, permohonan yang diterima hanya membabitkan pesakit yang menerima jangkitan di tempat kerja sahaja, bukan kontak rapat ahli keluarga atau di luar persekitaran pekerjaan.

“Tuntutan perlu dibuat melalui majikan dan disahkan menerima jangkitan di tempat kerja selain pemohon harus menjalani kuarantin.

“Nilai tuntutan yang bakal diterima adalah 80 peratus daripada pendapatan pemohon dan tertakluk kepada pengiraan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Karnival Jamin Kerja Peringkat Negeri Kelantan di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Lembah Sireh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Wilayah Kelantan Azyyati Ibrahim, Pengarah KPTM Raja Izuddin Raja Ahmad dan Penolong Pengurus Pembangunan Modal Insan (Pembuatan) IoT Malaysia (MARii) Azlihafiz Muhammad.

Katanya, daripada jumlah kelulusan, 37 permohonan membabitkan individu meninggal dunia akibat Covid-19 dan secara automatik menerima pencen penakat.

Sementara itu, Nora berkata, seramai 5,131 pencarum di negeri ini yang kehilangan pekerjaan sepanjang pandemik Covid-19 sudah menerima faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Katanya, mereka menerima sejumlah elaun maksimum sehingga enam bulan sementara mendapat pekerjaan lain.

Sumber: My Metro