KOTA BHARU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyasarkan lebih 40,000 majikan di negeri ini untuk mendaftar perusahaan dan pekerjaan di sepanjang tahun ini.
Pengarahnya Nora Yaacob berkata, setakat Mei lepas, pihaknya menerima sebanyak 30,949 majikan yang melibatkan pelbagai sektor di seluruh negeri Kelantan yang mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka.
Beliau berkata, semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja perlu mendaftar serta mencarum sejajar dengan peruntukan Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 14 dan 16 Akta Skim Insurans Pekerjaan (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Katanya, semua majikan yang mempunyai seorang pekerja tempatan atau pekerja asing wajib mendaftar dan mencarum dengan Perkeso. Ini termasuk dengan menggaji pekerja domestik seperti pembantu rumah, pembantu peribadi, tukang kebun serta penjaga bayi dan orang tua.
“Bagi memastikan akta berkenaan dipatuhi, Perkeso Kelantan menjalankan Kempen Pemutihan sepanjang Mei lalu bertujuan untuk memberi peluang kepada semua majikan berdaftar.”
“Manakala bermula 1 Jun lalu, Perkeso melaksanakan Ops Kesan di mana Notis Tawaran Kompaun serta-merta akan dikeluarkan terhadap majikan yang tidak mendaftar dan mencarum,” katanya.
Nora berkata, sepanjang kempen pemutihan, pihaknya melawat 866 premis di seluruh negeri di mana hanya 368 syarikat yang mematuhi akta, manakala 337 majikan belum mendaftar sama ada perusahaan mereka mahupun pekerja mereka selain 161 tidak layak mendaftar.
“Sebanyak 43 premis diperiksa sepanjang Ops Kesan dan Perkeso mengeluarkan 29 kompaun pelbagai kesalahan dengan nilai RM28,000,” tambah beliau.
Sumber: HARIAN METRO