PERKESO Terima 1,041 Tuntutan Berkaitan Penularan COVID-19 Di Tempat Kerja

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BERA : Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang menerima sebanyak 1,041 tuntutan kes membabitkan jangkitan COVID-19 di tempat kerja sehingga akhir September lalu.

Pengarah PERKESO Negeri Pahang, Encik Tarmizi Mokhtar berkata, tuntutan itu melibatkan jumlah sebanyak RM820,603.75 dan semuanya telah dijelaskan kepada pekerja yang terbabit dengan jangkitan tersebut.

“Namun sehingga masa ini, kita juga masih menerima proses tuntutan setiap hari kerana ia dihantar secara berperingkat.

“Bagi pekerja yang dapat jangkitan di tempat kerja, contoh seperti petugas kaunter di bank yang menerima jangkitan dari pelanggan, pekerja itu boleh buat tuntutan PERKESO sepanjang tempoh cuti sakit atau kuarantin,” katanya ketika ditemui media pada Program Sambutan Jubli Emas PERKESO Temerloh dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Bera serta Pusat Khidmat Rakyat ADN Guai di Dewan Sri Kempas, IPD Bera di sini.

Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa KerjaRaya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman dan Pegawai Daerah Bera, Dato’ Zaman Azam Mohamad Sarif @ Ahmat.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Mohd Johari yang ditemui berharap agar golongan majikan di negeri ini tidak mengambil mudah untuk membuat caruman PERKESO untuk pekerja mereka berikutan situasi yang berlaku seperti pandemik COVID-19.

“Kita juga ingin menggesa pihak majikan supaya mencarum PERKESO untuk pekerja mereka.

“Faedah yang bakal diterima dapat membela nasib pekerja yang memerlukan terutamanya ketika kita masih bergelut dengan pandemik,” katanya.

Pada majlis sama turut dilakukan Pelancaran Apps My Desa
Penyerahan cek kepada Komuniti My Desa serta berlangsung antaranya proses temuduga terbuka membabitkan sepuluh majikan, pameran serta kaunseling kerjaya dan penyampaian cek faedah PERKESO.

Sumber: PAHANGMEDIA