Perkhidmatan ambulans , van jenazah untuk asnaf

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (tengah) memotong riben yang dilekatkan di ambulans sambil diperhatikan Pengerusi YKKK, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (lima dari kiri) sebagai gimik pelancaran program Wakaf Kaseh Ambulans YKKK di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Kerap menerima rintihan daripada asnaf yang tidak mampu membayar kos perkhidmatan ambulans sama ada untuk hal kecemasan atau berulang-alik mendapatkan rawatan, mencetuskan idea untuk menyediakan perkhidmatan itu secara percuma.

Inisiatif menerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) itu adalah dengan menyediakan dua ambulans untuk kegunaan asnaf seluruh Kelantan.

Pengerusi YKKK, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad, berkata perkhidmatan ambulans bawah program Wakaf Kaseh Ambulans YKKK itu disediakan secara percuma kepada seluruh asnaf di Kelantan, khususnya yang amat memerlukannya bagi mendapatkan rawatan susulan secara berkala di hospital kerajaan di negeri ini.

“Kami terpanggil untuk mewujudkan perkhidmatan ini kerana menerima banyak rintihan daripada asnaf yang menyatakan kos bagi perkhidmatan ambulans swasta terlalu tinggi dan sebagai contoh, sebanyak RM150 dikenakan untuk satu perjalanan dari rumah ke hospital di Kota Bharu.

“Kos perkhidmatan ini hanyalah untuk satu hari mendapatkan rawatan di hospital dan ia dikenakan per kilometer, sekali gus membebankan golongan asnaf yang kebanyakan mereka adalah bekerja sebagai petani ataupun penoreh getah yang gaji setiap hari hanya cukup makan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, YKKK mempunyai 66 anak angkat yang berdaftar terdiri daripada pesakit kanser, kronik terlantar, orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan perkhidmatan ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital kerajaan.

Pelancaran dua ambulans itu disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Turut dilancarkan dalam program sama adalah sebuah van jenazah bawah program Wakaf Kaseh Van Jenazah Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) bagi keperluan sama iaitu sasaran kepada golongan asnaf.

Sheikh Ahmad Dusuki yang juga Presiden POKB berkata, perkhidmatan van jenazah itu disediakan untuk tiga kategori iaitu percuma kepada waris asnaf dan penerima zakat, waris yang sederhana mampu dan waris mampu.

“Untuk penerima zakat, segala urusan mandi jenazah, kafan dan solat serta penghantaran akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kami.

“Bagi kategori dua, mereka boleh membayar setakat termampu dan selebihnya ditanggung oleh kami manakala kategori tiga pula kami akan caj dengan harga minimum,” katanya.

SUMBER : Berita Harian