KUALA NERUS – Terengganu melakar satu lagi sejarah semalam dengan mendapat pengiktirafan dalam ‘The Malaysia Book of Records’ bagi program pelepasan 1,270 ekor anak ikan Inggu di perairan Pulau Bidong sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini.
Program tersebut adalah acara kemuncak anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sempena Bidong Merdeka Dive 2022 yang mula berlangsung sejak Sabtu lepas sehingga 15 September ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata, pelepasan 1,270 ekor anak ikan spesies itu adalah sebagai simbolik ‘pembebasan’ bersesuaian dengan tema penganjuran program tersebut iaitu ‘Dive For Freedom’.
Katanya, kesemua anak ikan itu ditetaskan dan diternak di Pusat Penetasan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) UMT setelah melalui beberapa siri kajian dan penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 2017.
“Program hari ini juga bertujuan mendedahkan peserta mengenai program pemuliharaan khazanah yang terancam di dasar laut dan ekosistem marin yang secara tidak langsung meningkatkan industri pelancongan berasaskan alam semulajadi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Bidong Merdeka Dive di Pulau Bidong di sini, hari ini.
Program tersebut disertai kira-kira 200 penyelam skuba dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Fadli berkata, Bidong Merdeka Dive adalah satu daripada empat acara yang diatur sempena penganjuran Terengganu Dive Month yang bermula hari ini hingga 15 September depan.
“Jabatan menyasarkan kedatangan 1,000 penyelam skuba untuk menyertai pelbagai kempen yang telah kita aturkan sepanjang bulan ini antaranya program di Pulau Tenggol, Dungun; Pulau Kapas di Marang dan Pulau Perhentian di Besut.
“Menerusi program ini, secara tidak langsung dapat memperkasakan lagi kempen promosi pelancongan pulau kepada pengunjung dan mengukuhkan jenama pulau-pulau peranginan terkenal di Terengganu sebagai destinasi selam skuba terbaik ke peringkat global,” katanya.
Sumber : UNIT BERITA MANIS FM