KUANTAN : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjalani ujian saringan COVID-19.
Seri Paduka Baginda bertitah saringan ini perlu dilaksanakan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjadi kluster baharu di PPS.
“Di sini ada beberapa perkara yang ingin saya ingatkan semasa dalam PPS ini, harus melaksanakan SOP yang ketat.
“Apabila kita masuk ke PPS ini, perlu buat swab test supaya dapat asingkan mereka yang positif dan negatif,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian selepas mendengar sembah taklimat mangsa banjir oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu di Wisma Belia di Kuantan.
Turut berangkat bercemar duli Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.
Seri Paduka Baginda turut menekankan bahawa pematuhan kepada SOP yang ditetapkan perlu menjadi satu keutamaan.
“Kita tidak mahu pusat pemindahan ini menjadi center atau kluster kepada wabak COVID ini. Sila ambil perhatian berkenaan perkara ini. Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini perlu beri perhatian sewajarnya.
“Ini tidak boleh kita kompromi dalam hal ini dan semua pihak perlu mematuhi kehendak-kehendak dan peraturan yang ditetapkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara),” titah baginda.
KDYMM Yang di-Pertuan Agong turut meminta semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
“Marilah kita sama-sama berdoa dan solat hajat, mohon pada Allah supaya jauhkan malapetaka dan keadaan cuaca yang buruk di Malaysia dan di Pahang khusunya.
Seri Paduka Baginda turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Sumber: PAHANGMEDIA