Perlu Niat Puasa Untuk Setiap Hari Atau Sebulan?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Perlukah meniatkan puasa wajib anda di bulan Ramadan setiap malam atau sahkah jika hanya diniatkan sekali sahaja sepanjang Ramadan ini?

Ia masih lagi menjadi kekeliruan segelintir umat Islam. Rata-rata ada yang mengambil pendapat untuk meniatkan puasa pada awal Ramadan sekali gus, bimbang jika terlupa niat di tengah-tengah Ramadan nanti.

Niat merupakan salah satu syarat sah berpuasa, maka hukumnya adalah wajib. Seseorang yang ingin berpuasa, perlu menentukan niatnya sama ada untuk berpuasa Ramadan, sunat dan sebagainya.

Apabila berniat untuk melakukan puasa wajib, iaitu puasa di bulan Ramadan, seorang muslim itu perlu menetapkan niat mereka di malam hari, iaitu selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (sebelum Subuh).

Dalam hal di atas, terdapat beberapa pendapat daripada para ulama.

1 . Perlu Meniatkan Setiap Hari

Menurut pendapat daripada Abu Hanifah, Imam Syafi’e dan Imam Ahmad, niat puasa mestilah dilakukan pada setiap malam. Ini ada disebut melalui kitab Kifayatul Akhyar oleh Syekh Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad Al-Hinshni:

Maksud: “Niat puasa wajib dipasang setiap malam kerana puasa dari hari ke hari merupakan ibadah terpisah. Cuba perhatikan, bukankah puasa Ramadan sebulan tidak menjadi rosak hanya kerana batal sehari? Kalau ada seseorang yang memasang niat puasa sebulan penuh di awal Ramadan, maka puasanya hanya sah di hari pertama. Demikian pendapat ini daripada mazhab Syafi’e.”

2. Boleh Diniatkan Sebulan Penuh

Menurut pendapat yang dilihat daripada Imam Malik dan Imam Zulfar, boleh diniatkan sebulan penuh puasa di bulan Ramadan pada hari pertama puasa (awal Ramadan).

Hal ini adalah kerana, niat yang dinyatakan itu adalah merujuk kepada puasa di bulan Ramadan yang menjadi ibadah wajib kepada semua umat Islam.

Apabila ditinggalkan, wajib ke atas muslim tersebut untuk mengqada’nya selepas Ramadan mengikut bilangan hari yang tertinggal.

Ia juga dilihat seperti ibadah solat yang niatnya hanyalah di permulaan solat dan bukan pada setiap rakaat yang dilakukan. Maka, solat tersebut adalah sah.

Justeru, melihat kepada pendapat yang dinyatakan oleh mazhab Syafi’e, niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.

Maksud: “Sahaja aku berpuasa esok hari pada bulan Ramadan tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

Namun, untuk mengambil langkah berjaga-jaga, tidak menjadi masalah untuk seseorang muslim itu bertaqlid (menerima) dengan pendapat daripada Imam Malik dengan meniatkan puasa sebulan terus pada awal Ramadan.

Maksud: “Sahaja aku berpuasa sebulan pada bulan Ramadan kerana Allah Ta’ala.”

Sumber: TZKRH.COM