Perlukah Menggantikan Solat Asar Jika Mandi Wajib Pada Waktu Maghrib

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Perempuan yang didatangi haid tidak perlu menunaikan solat dan tidak boleh melakukan ibadah wajib yang lain seperti puasa selama masih berada dalam tempoh tersebut.

Apabila sudah habis daripada tempoh tersebut, mereka hendaklah mandi hadas (mandi wajib) bagi membolehkan ibadah-ibadah tersebut dilakukan tanpa halangan.

Solat yang ditinggalkan sepanjang tempoh haid sudah tidak perlu diganti. Berbeza dengan puasa kerana puasa yang tertinggal itu perlu digantikan.

Aisyah RA berkata – “Perkara itu (haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka, kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 335)

Namun, ada perselisihan mengenai waktu yang solat yang perlu digantikan oleh wanita, iaitu dalam tempoh haidnya yang sudah kering namun belum mandi wajib.

Sebagai contoh – haidnya sudah kering pada waktu Asar. Namun, dia memilih untuk mandi wajib pada waktu Maghrib bagi memastikan ia betul-betul sudah habis.

Jadi, adakah dia perlu menggantikan solat Asar tersebut?

Dalam hal ini, terdapat dua pendapat yang telah dibahaskan oleh jumhur ulama, iaitu;

1.Perlu Menggantikan Solat

Pendapat daripada sebahagian mazhab syafi’e, Imam Ahmad, Syaikh Shalih al-Fauzan dan Imam Baihaqi menyebut bahawa perlu menggantikan semula solat Asar tersebut.

Hal ini adalah berdasarkan dalil yang telah diriwayatkan, iaitu;

Maksud: “Dari Abdurrahman bin ‘Auf, ia berkata: “Jika wanita haid suci sebelum tenggelam matahari, maka ia tetap harus mengerjakan solat Zuhur dan Asar. Jika ia suci sebelum fajar (waktu Subuh), maka ia tetap mengerjakan solat Maghrib dan Isyak.” (Ibnu Abi Syaibah, 2/122)

2.  Tidak Perlu Menggantikan Solat

Para ulama berpendapat bahawa tidak perlu menggantikan solat yang tertinggal tersebut. Hal ini kerana, tujuan asalnya adalah untuk memastikan bahawa haid tersebut hendaklah betul-betul kering.

Saidatina ‘Aisyah juga berkata bahawa kaum wanita tidak perlu tergesa-gesa untuk mandi wajib bagi menunaikan solat. Mereka perlu memastikan bahawa darah haid itu perlulah benar-berar terhenti.

Syeikh Muhammad bin Shalih Al-utsaimin RA berkata – “Seorang wanita yang suci di waktu Asar, maka ia hanya mengerjakan solat Asar sahaja, tidak lagi solat Zuhur.” (Fath Dzi Al-Jalali wa Al-Ikram bi Syarh Bulugh Al-Maram)

Kesimpulannya, berdasarkan daripada penjelasan yang telah diberikan dan melihat kepada pendapat Mufti Wilayah, wanita tersebut tidak perlu menggantikan solat Asar jika dia mandi wajib pada waktu Maghrib.

Hal ini kerana, wanita tersebut menunggu untuk memastikan agar haidnya betul-betul suci dan kering agar membolehkannya solat dalam keadaan bersih.

Sumber: TZKRH.COM