Ada sebuah dalil yang menunjukkan pengharaman ke atas lelaki untuk mengahwini perempuan dari kalangan adik-beradik. Maksudnya ialah jika suami berkahwin dengan kakaknya, maka adik iparnya telah menjadi mahram sementara kepadanya.
Mahram sementara bermaksud selagi status mereka adalah suami isteri, maka haram dan tidak sah untuk dia bernikah dengan iparnya sama ada kakak atau adiknya.
Mafhum: “Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu).” (Surah An-Nisa, 4:23)
Maka, jika suami bercerai dengan isterinya dengan talak raj’ie, iaitu talak yang dilafazkan oleh suami ke atas isterinya dan dia berhak untuk rujuk kembali bersama isterinya dalam tempoh iddah (talak satu dan dua), maka suami boleh mengahwini adik atau kakak kepada bekas isterinya.
Berdasarkan sebuah hadis yang telah diriwayatkan menyebut bahawa hikmah pengharaman ini adalah untuk menjaga silaturahim adik-beradik itu sendiri.
Maksud: “Rasulullah SAW melarang perempuan dikahwinkan sekali (dimadukan) dengan saudara-maranya kerana dibimbangi akan memutuskan silaturahim.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 208)
Namun, adakah suami perlu menunggu sehingga habis idah isterinya, baru boleh berkahwin dengan bekas iparnya?
Ulama menjelaskan bahawa jika mereka bercerai dengan lafaz talak raj’ie, maka lelaki tersebut perlu menunggu sehingga bekas isterinya habis iddah terlebih dahulu, kemudian boleh berkahwin dengan bekas iparnya.
Ini kerana, jika belum selesai lagi idah isterinya kemudian dia telah berkahwin dengan iparnya, maka ia adalah sama dengan dia beristerikan dua orang yang bersaudara dalam satu masa yang sama.
Ia juga kerana perempuan yang sedang dalam tempoh idah masih lagi berada dalam hukum isteri kepada bekas suaminya.
Namun, jika isterinya meninggal dunia, maka dibolehkan untuk berkahwin dengan adik atau kakak kepada bekas isterinya tanpa menunggu idah kerana hubungan mereka telah putus dengan sebab berlakunya kematian.
Begitu juga jika mereka bercerai dengan lafaz talak ba’in (lafaz talak yang tidak boleh dirujuk) kerana sebab pengharamannya telah hilang.
Secara keseluruhannya, haram buat lelaki berkahwin dengan perempuan dan adik atau kakaknya secara serentak. Jika berkahwin dengan adik kepada bekas isterinya pula, perlu menunggu sehingga idahnya tamat dahulu. Barulah perkahwinan tersebut sah.
Sumber: TZKRH.COM