Perlumbaan Perahu Kolek Di Sungai Golok, Erat Hubungan Malaysia -Thailand

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS: Meskipun cuaca panas kesan fenomena El Nino yang melanda negara sekarang namun ia tidak menghalang lebih 2,000 penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Malaysia-Thailand datang menyaksikan perlumbaan perahu kolek yang diadakan di Sungai Golok, Rantau Panjang, di sini.

Pertandingan anjuran Majlis Perbandaran Sungai Golok melibatkan 12 pasukan Thailand dan enam pasukan Malaysia yang merupakan acara tahunan.

Timbalan Gabenor Narathiwat Veeraphat Buntharik yang menggunakan penterjemah bahasa berkata pertandingan yang diadakan itu bertujuan mengeratkan hubungan penduduk di sempadan kedua-dua negara.

“Kehadiran penduduk dari kedua-dua negara menunjukkan keakraban mereka dan saya berharap suasana sebegitu akan kekal selamanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Perahu Jokong Thai-Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed, Datuk Bandar Sungai Golok Suchada Phannara dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud.

Sementara itu, Mohd Aidil Afizie berkata penganjuran perlumbaan perahu kolek itu turut menyumbang kepada sektor pelancongan Kelantan.

“Perlumbaan perahu kolek ini sebenarnya jarang dapat dilihat dan sudah pasti menarik ramai pengunjung ke Rantau Panjang.

“Kita tahu ramai pengunjung tertumpu di tebing sungai dan keadaan itu sudah pasti diambil kesempatan oleh penduduk tempatan di kedua-dua negara untuk menambah pendapatan dengan menjual pelbagai jenis juadah ringan,” katanya.

Beliau turut menyokong usaha yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Sungai Golok itu.

— BERNAMA