KUALA LUMPUR – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 dalam bentuk geran untuk pihak yang berhasrat membangunkan kandungan digital.
Bagi permohonan 2022 dibuka bermula semalam sehingga 29 Julai depan bagi membantu syarikat, perusahaan dan syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad membangunkan kandungan baharu atau sedia ada di pasaran dalam bentuk animasi, komik digital, media interaktif dan permainan digital.
Geran berkenaan yang diperkenalkan pada 2021 di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia bertujuan membantu dan menggalakkan kesinambungan serta kemapanan pengamal industri kreatif negara selaras norma baharu berikutan pandemik COVID-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pada 2021, MDEC menerima 111 permohonan sebelum meluluskan RM1.9 juta memanfaatkan 39 pemohon dan Geran Kandungan Digital 2022 adalah sebahagian siri inisiatif pembiayaan untuk industri kandungan kreatif bagi tahun ini.
“Melalui Geran Kandungan Digital 2022, MDEC bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah membantu industri dalam penghasilan kandungan digital yang boleh dipasarkan. Idea mereka akan dinilai panel daripada pakar industri.”
“Sekiranya terpilih, pemohon akan dijemput ke sesi pembentangan pada Ogos sebelum kelulusan geran diumumkan pada September. Selepas mendapat kelulusan, penerima geran akan diberi tempoh enam bulan bagi menyiapkan kandungan digital mereka,” katanya.
Kandungan digital merangkumi sama ada filem animasi pendek, episod ‘pilot’ (percubaan), ekstrak (trailer) pendek, kandungan untuk pengumuman pesanan khidmat awam, permainan digital/media interaktif lengkap (demo atau prototaip) atau komik digital/komik bergerak lengkap.
Annuar berkata, Geran Kandungan Digital 2022 sangat penting bagi pencipta kandungan digital merealisasikan idea untuk dipasarkan kerana mereka mempunyai idea yang menarik, tetapi sukar untuk memula dan mendapatkan dana.
“Pada 2016, MDEC meluluskan 94 projek bernilai RM36.4 juta kepada syarikat kandungan kreatif digital bagi membiayai idea mereka di peringkat pembangunan. Industri kandungan kreatif digital antara industri yang pantas berkembang dan salah satu industri tumpuan di bawah Digital Malaysia.”
“Oleh itu, MDEC komited memastikan industri ini menerima sokongan yang diperlukan untuk kekal berdaya maju, mampan dan kompetitif,” tambah beliau.
Sumber: BERITA HARIAN