Kuala Lumpur: Jumlah permohonan kebenaran untuk masuk atau keluar dari negara ini bagi warganegara dan warga asing menerusi sistem MyTravelpass, Jabatan Imigresen Malaysia pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata sebanyak 111,722 permohonan diterima jabatan itu dalam tempoh antara Januari hingga 31 Julai 2021 berbanding 85,715 permohonan dalam tempoh sama, tahun lalu.
“Peningkatan ini saya kaitkan dengan keputusan kerajaan untuk memberi kelonggaran kepada golongan peniaga atau pelabur, selain urusan kerajaan, latihan bersama ketenteraan serta urusan kecemasan.
“Pelbagai faktor yang menyebabkan permohonan ditolak seperti didapati tidak mempunyai keperluan mendesak untuk pemohon memasuki atau keluar dari negara ini,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan di RTM malam tadi.
Selain itu, Khairul Dzaimee berkata pemohonan akan ditolak sekiranya pemohon datang dari lima negara yang dikenal pasti mempunyai kes Covid-19 yang tinggi, termasuk India, Sri Lanka, Pakistan, Nepal dan Bangladesh, seperti yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengesan beberapa kes pemohon didapati menggunakan kelulusan MyTravelpass klon dengan kelulusan tidak diperoleh daripada jabatan tersebut.
“Sampai di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pegawai Imigresen telah membuat pemeriksaan dalam sistem dan mereka dikenakan notis Tolak Kemasukan (Not-To-Land) dan akan dihantar pulang dengan penerbangan seterusnya.
“Ada juga pemohon yang mengemukakan permohonan tidak sah contohnya memberi alasan melawat tapak kilang projek tetapi semakan dengan pihak tertentu mendapati permohonan itu tidak ada atau wujud,” katanya.
Sumber: My Metro