‘Pernah nafas terhenti tapi panjang umur terus berbakti’ – Dr Samhan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
KUALA TERENGGANU – Pernah berdepan situasi hampir meragut nyawa ketika diuji dengan penyakit ketumbuhan rahang pipi, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, kini menggunakan platform media sosial sebagai usaha mendekatkan dirinya dengan masyarakat menerusi perkongsian ilmu berkaitan perubatan dan kesihatan.
Dr Ahmad Samhan yang merupakan seorang doktor perubatan popular di media sosial mendedahkan pernah berhadapan dengan detik cemas apabila nafasnya terhenti ketika berada di unit rawatan rapi (ICU) akibat penyakit ketumbuhan rahang pipi yang dihadapi sejak 2016.

“Saya mengalami sesak nafas kira-kira jam 3 pagi dan tak boleh bersuara. Ketika itu hanya mampu menggoncangkan katil sebagai isyarat namun akhirnya goncangan katil itu disedari seorang jururawat.
“Ketika nafas saya berhenti. Saya terus mengucap dalam hati dan berdoa kepada ALLAH dengan menyatakan jika ini pengakhiran bagiku maka akhiri aku dengan sebaik-baik pengakhiran selain mati dalam keadaan husnul khatimah.

“Jika tidak, panjangkan umur aku untuk aku beri manfaat pada orang lain. Oleh sebab itu, saya nak jadi orang yang bermanfaat dengan memberi ilmu kepada masyarakat walaupun ia hanya sedikit namun memberi makna dan kebaikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Chendering di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Samhan menyatakan bahawa beliau terharu apabila perkongsiannya di media sosial memberi manfaat kepada orang ramai.

Sumber: Sinar Harian