Perniagaan di Rantau Panjang dijangka kembali meriah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS, 8 Dis – Zon bebas cukai Rantau Panjang di sini yang sunyi sepi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini, kembali  ‘hidup’ selepas perintah itu ditamatkan di sesetengah jajahan di negeri ini sejak semalam.

Suasana di kawasan membeli-belah itu kembali meriah apabila kebanyakan peniaga mula kembali berniaga seperti mereka yang baru bangun daripada ‘tidur’ yang panjang untuk mencari rezeki.

Peniaga beg Yakob Abdul Ahad, 43, berkata beliau kembali membuka kedai selepas kerajaan mengeluarkan arahan membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri.

“Sudah beberapa minggu pendapatan peniaga di sini berkurangan. Alhamdulillah saya harap ia akan kembali memeriahkan sedikit suasana berniaga dengan kehadiran pengunjung negeri lain. 

“Pengunjung dilihat berkurangan susulan PKPB diumumkan dan ditambah dengan musim banjir melanda negeri ini. Jangkaan saya pengunjung akan beransur-ansur datang ke sini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Aktiviti perniagaan di zon bebas itu terjejas selepas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di Kelantan mulai 21 Nov hingga 6 Dis, berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di negeri ini.

Yakob berkata beliau kini sibuk membersihkan kedainya di Pasar Rantau Panjang yang kali terakhir dibuka pada pertengahan bulan lalu. 

Seorang lagi peniaga Indera Muslim, 47, berkata beliau juga kembali membuka perniagaan menjual beg dan baju bermula semalam. 

“Sejak bulan lepas kedai ini ditutup dan saya baru sahaja membukanya. Harap-harap pengunjung kembali datang, sekali gus memberikan pendapatan buat peniaga di sini. 

“Selain COVID-19, peniaga di sini juga berwaspada jika gelombang banjir seterusnya tiba. Tempoh hari, banjir yang melanda tidaklah begitu teruk dan cuaca buat masa ini agak baik serta banjir semakin surut,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar jajahan Pasir Mas juga mendapati cuaca panas terik sejak pagi tadi. 

Sumber: BERNAMA