Perparitan, Longkang Monsun Diselenggara Bagi Hadapi Musim Tengkujuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dan sedang menyelenggara sistem perparitan dan longkang monsun di sekitar daerah ini sebagai langkah menghadapi musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata longkang yang tidak diselenggara tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak disebabkan ketiadaan tempat untuk menyalurkan atau mengumpulkan air sekiranya berlaku hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika membuat pemerikasaan barisan ketika Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan Penyerahan Geran Bantuan Kepada Pasukan Bomba Sukarela di Indera Mahkota.

“Sebagai contoh di Jalan Lim Hoe Lek, bersebelahan padang Majlis Bandar raya Kuantan (MBK) 3, apabila berlaku banjir kilat, walaupun air tak dalam, tapi ia menutup longkang menyebabkan orang tak perasan kawasan tersebut dan menyebabkan berlaku kejadian kereta terbabas ketika air melimpah hingga memasuki longkang.

“Jadi saya telah mengarahkan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan juga Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang railing (penghadang) di tepi Jalan Lim Hoe Lek bagi mengelakkan kejadian awal tahun ini berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan Penyerahan Geran Bantuan Kepada Pasukan Bomba Sukarela di sini.

Turut hadir Pengarah JBPM Pahang, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga sedang dalam proses membesarkan longkang monsun di sekitar kawasan yang sering berlaku banjir kilat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda

“Proses untuk menaik taraf longkang monsun yang berfungsi sebagai tempat simpanan sementara takungan hujan di sepanjang jalan tersebut juga mengambil masa untuk dilaksanakan kerana masih menunggu peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan.

“Buat masa ini, kita hanya boleh melakukan kerja penyelenggaraan asas seperti membersihkan longkang yang bermasalah bagi mengelak longkang tersumbat hingga mengakibatkan air melimpah ketika hujan lebat berlaku dan bertambah buruk sekiranya berlaku serentak dengan air pasang besar,” katanya.

Tambah beliau lagi, berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan, daerah Kuantan berhadapan risiko banjir besar disebabkan berada berhampiran dengan pantai.

Pada majlis itu, sebanyak 34 pasukan bomba melibatkan 973 anggota bomba sukarela menerima geran berjumlah RM3,000 yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM102,000.

Sumber: PAHANGMEDIA