Persatuan Bas Sekolah Negeri Kelantan berharap kerajaan negeri dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas punca pendapatan apabila perkhidmatan itu dihentikan susulan pelaksanaan pembelajaran di rumah akibat Covid-19.
Pengerusinya, Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata, pihaknya berdepan kesusahan hidup sejak setahun yang lalu apabila bas dan van sekolah tidak lagi mempunyai pelanggan seperti biasa.
“Sekarang kami tidak mampu buat apa sebab rata-rata pemandu bergantung harap sepenuhnya pada kerja ini.
“Diharap kerajaan dapat bantu meringankan bebanan dengan langkah-langkah yang proaktif supaya kami mampu mencari sumber pendapatan lain,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sebelum itu, Wan Mohd Nuhairi menerima kunjungan pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui Program Sumbangan Musa’adah Pemandu Bas dan Van Kelantan yang diketuai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ahmad Fathan Mahmood.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Nuhairi berkata, ada antara ahli mereka yang menjual bas kerana tidak mampu menanggung bebanan servis bulanan.
“Nilai jualan bas bukan mahal, cuma antara RM5,000 dan RM7,000. Kami tersepit. Kalau kerajaan boleh bagi pemberian one-off atau sebagainya, bolehlah kami ringankan bebanan ini sikit,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fathan ketika ditemui berkata, sumbangan yang diberikan merupakan antara aktiviti yang dijalankan di bawah program tersebut.
“Pemberian sumbangan ini melibatkan banyak kumpulan terutama mereka yang terkesan akibat penularan Covid-10 seperti orang kampung, peniaga kecil, penjaja serta mangsa banjir baru-baru ini,” katanya.
Sumber : Sinar Harian