BELURAN – Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) perlu berusaha menambah ahli agar kerajaan boleh menyampaikan bantuan secara terurus kepada golongan sasar, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata kerajaan mahu memastikan tahap sosioekonomi nelayan kecil ditingkatkan dan seterusnya memastikan bekalan ikan negara berterusan.
“Kalau ada mereka yang nelayan, tetapi belum menyertai PNK, harus berbuat demikian kerana itu adalah menjadi tanggungjawab PNK untuk memastikan semua nelayan dibela (oleh kerajaan) melalui PNK.
“Sektor perikanan merupakan antara sektor yang ditumpukan untuk memastikan kelangsungan bekalan sekuriti makanan. Jadi pelbagai program diolah oleh kerajaan melalui MAFI dan disalurkan untuk membangunkan sektor perikanan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan pejabat baharu PNK Beluran di sini hari ini.
Ronald berkata agenda untuk meningkat tahap sosioekonomi nelayan dapat dicapai melalui komitmen berterusan oleh PNK.
Mengenai bangunan pejabat baharu PNK Beluran itu, beliau berharap pengurusan PNK Beluran akan memanfaatkan semaksimum mungkin penggunaan bangunan pejabat itu, termasuk mengadakan aktiviti pembangunan sosioekonomi masyarakat, khususnya dalam kalangan ahli PNK.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Yusoff Othman berkata sebuah PNK baharu di Paitan dalam Parlimen Beluran akan mula beroperasi bulan depan.
Katanya, langkah untuk mewujudkan satu lagi PNK dalam Parlimen Beluran perlu berdasarkan keluasan kawasan itu yang besar.
Pada majlis itu, seramai 30 ahli PNK Beluran turut menerima bantuan enjin sangkut.
Sumber: BERNAMA