Perseteruan City-Liverpool Umpama El Clasico

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Pep Guardiola berkata bahawa permusuhan antara Manchester City dan Liverpool mengingatkannya kepada pertarungan popular El Clasico ketika beliau berada di Sepanyol.

Dua kelab teratas Liga Perdana itu sudah mengumpul empat gelaran antara mereka dan ia akan menjadi lima selepas musim ini dengan potensi ia terjadi di Etihad malam esok.

Bos Man City, Guardiola memegang kelebihan 3-1 mengatasi pengendali Liverpool, Jurgen Klopp pada tempoh dominasi mereka kebelakangan ini.

Dan Guardiola menyatakan cara kedua-dua kelab melaluinya sejak lima tahun lalu seakan sama dengan cara Barcelona dan Real Madrid mengungguli saingan liga di Sepanyol.

Katanya: “Saya sudah melalui situasi ini di Barcelona. Ia sentiasa Madrid, kadangkala Atletico Madrid, itu sudah tentu.

“Tapi selalunya Barca dan Madrid. Di sini sentiasa ada lima atau enam pasukan tetapi sejak lima tahun lalu, ia hanya membabitkan dua pasukan.

“Inilah realiti Liga Perdana, ia menunjukkan tahap konsisten kedua-dua pasukan dan struktur kedua-duanya.

“Apa yang pasti ialah Liverpool dan Manchester City mendominasi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kami menaikkan tahapnya, meningkatkan sasaran yang pernah dicipta Liga Perdana sebelum ini.

“Kami banyak memberi tekanan terhadap satu sama lain dan pasukan lain sedar mereka perlu memberikan tekanan lebih untuk mengejar kami.

“Dalam lima tahun lalu, satu tahun kami sedikit menurun, musim lalu mereka mengalami kecederaan dan United berada di sana.

“Tetapi kedua-dua pasukan sejak setengah dekad yang lalu, kami berada di sana, kami bertarung sesama sendiri.”

City mendahului Liverpool dengan hanya satu mata manakala pasukan tangga ketiga, Chelsea 13 mata di belakang.

Sumber: BERITA HARIAN