Kuala Lumpur: Seorang penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya meraih pencapaian tertinggi hingga ke peringkat dunia dalam peperiksaan program perakaunan profesional, baru-baru ini.
Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi, 21, menerima anugerah untuk dua kertas peperiksaan diambil iaitu Financial Management (FM) dengan pencapaian tempat pertama di Malaysia dan juga di dunia manakala untuk Strategic Business Reporting (SBR), dia mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia.
Fakulti Perakaunan universiti itu dalam satu kenyataan berkata, Hannah Mumtazah masih mempunyai tiga kertas peperiksaan sebelum menamatkan pengajian dan mendapat kelayakan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA).
Menurut kenyataan itu, ini bukan kali pertama penuntut UiTM melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, Fakulti Perakaunan UiTM sentiasa komited dalam berusaha meningkatkan bilangan akauntan bertauliah di negara ini.
“Pihak fakulti serta UiTM berbangga dengan pencapaian penuntut di peringkat nasional dan juga antarabangsa dan semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat penuntut lain untuk terus cemerlang,” menurut kenyataan itu.
Hannah Mumtazah yang bercita-cita menjadi akauntan bertauliah sebelum ini mengikuti program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) sebelum menyambung pengajian di UiTM.
JPPro adalah program profesional yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.
Melalui program ini, penuntut boleh terus mengikuti program ACCA tanpa perlu mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT).
“Pengurusan masa yang baik adalah perlu dalam memastikan supaya sesi ulang kaji dapat diatur tanpa mengorbankan waktu untuk diri dan keluarga.
“Selain itu, konsisten sepanjang semester antara kunci kejayaan, berbincang bersama pensyarah dan rakan kuliah antara yang sering dipraktikkan,” katanya ketika dihubungi.
Sumber: My Metro